Reformasi Dewan Rakyat: Parlimen kini lebih dekat dengan orang ramai
- Suara Keadilan

- Sep 10
- 1 min read

Dewan Rakyat berjaya melaksanakan pelbagai agenda reformasi fizikal dan substantif sejak dua tahun lalu, sekali gus memperkasakan institusi Parlimen agar lebih inklusif dan dekat dengan rakyat, khususnya generasi muda.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul (gambar) berkata, antara pembaharuan yang dilaksanakan termasuk memperluas akses Parlimen kepada NGO dan orang awam, serta menyediakan platform untuk generasi muda dan pelajar sekolah memahami fungsi Parlimen.
"Sehingga kini, seramai pelajar daripada 716 sekolah sudah diberi peluang menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Selasa dan Khamis," katanya dipetik selepas menjadi tetamu Podcast Utama oleh TV3.
Beliau turut memaklumkan Parlimen Belia akan dilaksanakan hujung tahun ini bagi memberi pendedahan mengenai sistem perwakilan berkadar.
Dalam aspek substantif, Johari menjelaskan status Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) telah ditukar menjadi jawatankuasa tetap dan kini termaktub dalam peraturan mesyuarat.
"Ia bermakna sekiranya Parlimen terbubar, JKPK ini akan kekal wujud dan tidak terhapus.
"Peranan JKPK sendiri turut diperluas untuk meneliti Rang Undang-Undang selepas bacaan pertama dan mencadangkan pindaan dalam tempoh ditetapkan. Malangnya ada pihak tidak memanfaatkan ruang ini, sebaliknya mendesak perubahan ketika bacaan kedua," katanya.
Mengulas lanjut Dr Johari berkata, Parlimen juga telah menambah baik pelaksanaan Kamar Khas bagi membincangkan isu setempat serta memberi peluang kepada Ahli Parlimen pembangkang mempengerusikan sesi tersebut sebagai Speaker.









Comments