top of page

Reformasi bukan slogan, prinsip mesti dipertahan tanpa pilih kawan atau lawan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 minutes ago
3 min read
Ahad, 20 September. 28 tahun lalu... penangkapan DS Anwar di rumah beliau mencetuskan kebangkitan Reformasi yang tidak padam sehingga beliau diangkat sebagai Perdana Menteri pada 2022. Foto: Arkib ABIM
Ahad, 20 September. 28 tahun lalu... penangkapan DS Anwar di rumah beliau mencetuskan kebangkitan Reformasi yang tidak padam sehingga beliau diangkat sebagai Perdana Menteri pada 2022. Foto: Arkib ABIM

Reformasi bukan sekadar slogan atau tarikh dalam sejarah, sebaliknya perjuangan panjang yang menuntut keberanian, pengorbanan dan istiqamah, kata mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar.


Beliau berkata, pengalaman menyertai gelombang Reformasi sejak 1998 ketika masih mahasiswa menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan prinsip yang pernah dipertahankannya.


"Perjuangan saya bermula sejak zaman mahasiswa sebagai Timbalan Presiden Gerakan Mahasiswa Alternatif di Universiti Putra Malaysia. Ketika itu, perjuangan rasmi saya bersama Pas juga telah bermula.


"Saya memilih untuk berada di barisan hadapan dalam gelombang Reformasi dan perjuangan tersebut akhirnya membawa saya berdepan tindakan undang-undang sehingga dijatuhi hukuman penjara," katanya dalam kenyataan sempena memperingati detik 20 September, hari ini.


Dalam sejarah Reformasi 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September sebelum ditahan polis pada hari Ahad, 20 September. Peristiwa itu merupakan titik penting yang mencetuskan gelombang Reformasi di seluruh Malaysia.


Menurut Fakhrulrazi, beliau mengimbau perkara itu bukan untuk meminta simpati atau mengungkit pengorbanan, sebaliknya mahu menegaskan bahawa Reformasi sudah menjadi sebahagian daripada prinsip perjuangannya sejak lebih dua dekad lalu.


"Saya cuma mahu mengingatkan bahawa bagi saya, Reformasi bukan slogan yang saya temui semalam. Ia sebahagian daripada perjalanan hidup dan prinsip yang pernah saya pertahankan dengan harga yang bukan kecil," katanya.

Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar

Beliau berkata perjuangan itu kemudiannya diteruskan dalam Pas, khususnya melalui Pemuda Pas, kerana ketika itu beliau melihat parti berkenaan sebagai antara gerakan politik yang lantang membawa isu keadilan, amanah dan perjuangan menentang rasuah.


Apatah lagi pemimpin utamanya ketika itu, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat begitu memperjuangkan pembebasan Anwar Ibrahim.


Kepentingan politik mengalahkan prinsip perjuangan


Bagaimanapun, ujarnya, selepas lebih dua dekad, beliau sukar memahami perkembangan perjuangan Pas apabila terdapat pihak dalam parti itu yang dilihatnya sanggup mempertahankan individu berdepan pertuduhan atau kesalahan menyalahguna kuasa dan seleweng wang rakyat, apabila ia berkait dengan kepentingan politik dan kuasa.


"Saya sukar memahami apabila perjuangan yang dahulu begitu lantang menentang rasuah dan salah guna kuasa kini dilihat sanggup mempertahankan pihak yang berdepan pertuduhan atau kesalahan apabila ia berkait dengan kepentingan politik dan kuasa.


"Bukankah dahulu kita berjuang kerana prinsip? Kalau prinsip itu benar, ia mestilah sama ketika kawan melakukannya dan ketika lawan melakukannya," katanya.


Fakhrulrazi menegaskan rasuah dan salah guna kuasa tidak seharusnya dinilai berdasarkan siapa pelakunya.


"Rasuah tetap salah walaupun dilakukan oleh orang yang kita sokong. Salah guna kuasa tetap salah walaupun melibatkan pihak yang dekat dengan kita.


"Kita tidak boleh menjadikan perjuangan melawan rasuah sebagai senjata politik — keras apabila melibatkan lawan, tetapi lunak apabila melibatkan kawan," katanya.


Mengulas perkembangan semasa, beliau melihat kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai satu ruang penting untuk meneruskan agenda reformasi yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.


Namun, katanya, reformasi tidak akan selesai hanya dengan pertukaran kerajaan atau pemimpin kerana masih terdapat kepentingan, budaya lama dan kekuatan tertentu yang boleh menjadi penghalang kepada perubahan.


"Sebab itu, mengukuhkan mandat dan kedudukan politik bagi memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan adalah sesuatu yang penting," katanya.


Menurut beliau, Reformasi perlu difahami dalam konteks yang lebih luas meliputi perubahan terhadap sistem, tatakelola, institusi, budaya kuasa dan cara negara ditadbir.


Fakhrulrazi berkata, pada waktu ini persoalan paling penting yang perlu dijawab ialah sama ada perjuangan yang dibawa selama ini berasaskan prinsip atau kuasa.


"Apa yang sebenarnya kita perjuangkan selama ini — prinsip atau kuasa? Jika prinsip, pertahankan prinsip walaupun ia merugikan kita.


"Jika amanah, pertahankan amanah walaupun ia melibatkan orang yang kita kenal dan kita sokong," katanya.


Beliau turut menegaskan perjuangan membanteras rasuah tidak sepatutnya memilih pelaku berdasarkan warna parti.


"Jika benar-benar mahu melawan rasuah, jangan pilih siapa yang hendak dilawan berdasarkan warna parti.


"Saya mungkin tidak lagi berada di pentas perjuangan yang sama seperti dahulu. Tetapi prinsip itu masih saya pegang: Kuasa ialah amanah. Jawatan ialah tanggungjawab. Harta negara ialah hak rakyat. Dan rasuah mesti dilawan tanpa memilih siapa pelakunya," katanya.


Fakhrulrazi berkata lebih dua dekad selepas Reformasi 1998, perjuangan berkenaan masih belum selesai.


"Bagi saya, Reformasi bukan sekadar satu tarikh dalam sejarah. Ia adalah perjalanan panjang yang menuntut keberanian, pengorbanan dan istiqamah.


"Kita baru bermula membuat perubahan. Bukan kegagalan. Perjuangan masih panjang.


"20 September mengingatkan saya bahawa Reformasi belum selesai," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page