top of page

Reformasi Bazar Ramadan 2026 Satu Pencapaian

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 3 min read
Lai (kiri sekali) melawat bazar Ramadan yang semakin baik pengurusannya
Lai (kiri sekali) melawat bazar Ramadan yang semakin baik pengurusannya

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Setiap kali Ramadan menjelang, isu manipulasi tapak bazar yang menghantui penjaja kecil seolah-olah tiada penghujungnya. Namun, sebagai mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (ALPBKL), saya melihat tahun 2026 membawa sinar reformasi yang lebih cerah.


Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan permohonan lesen secara terus dan memperkukuh Ops Tegas adalah satu tekad berani di bawah prinsip Tadbir Urus (Governance) Malaysia Madani untuk menamatkan riwayat ‘lintah darat’ yang mengaut untung atas angin.


Pengalaman saya pada tahun 2024 menjadi bukti mengapa reformasi ini sangat kritikal. Ketika itu, saya dihubungi sendiri oleh pemilik rumah kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang mengadu mengenai salah laku (malpractice) penganjur.


Pintu premis mereka dihalang sepenuhnya oleh gerai, isu kebersihan terabai, dan wujud amalan 'sewa atas sewa' yang mencekik leher peniaga. Insiden tular 'Abang Belon' adalah kemuncak kepincangan sistem lama yang tidak boleh kita biarkan berulang lagi. Reformasi Madani hari ini hadir untuk membetulkan ketirisan ini melalui sistem yang lebih telus dan akauntabel.


Pembaharuan, matang, sistematik


Senja tadi, saya sempat meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Wangsa Maju dan Pasar Ramadan Taman Melati bagi meninjau sendiri keadaan di lapangan. Apa yang menarik perhatian saya adalah perbezaan ketara antara kedua-dua lokasi ini dari segi pengurusannya—satu dianjurkan secara langsung oleh DBKL, manakala satu lagi di bawah seliaan penganjur swasta secara hibrid. Sejak mula berkhidmat, saya dan pasukan sering menyantuni pengunjung di sini dan saya amat mementingkan aspek ketelusan penganjuran demi hak peniaga serta pengguna.

Lai mencuba membuat roti John
Lai mencuba membuat roti John

Saya melihat pembaharuan yang kita mulakan sejak 2018 kini semakin matang dan sistematik. Mengimbas kembali tahun lalu di bawah pentadbiran YBM Datuk Seri Dr Zaleha, fi lesen telah dikurangkan kepada RM500 dan semua bazar diwajibkan di bawah penyeliaan DBKL.


Inisiatif penaja seperti Bank Muamalat yang menyumbangkan khemah turut membantu meringankan beban kos. Walaupun langkah murni itu pernah mencetuskan rasa kurang senang segelintir persatuan penjaja yang kehilangan status penganjur, prinsip Madani tidak akan berkompromi dalam aspek integriti pengurusan.


Tahun ini, saya memuji langkah YBM Hannah Yeoh yang mengumumkan pengurangan fi lesen kepada RM400. Daripada 44 lokasi bazar rasmi di ibu kota, 12 daripadanya—termasuk di Seksyen 1 dan Danau Kota—diselia sepenuhnya oleh DBKL bagi memastikan tiada penglibatan warga asing atau gejala 'sewa atas sewa'.


Bagi baki 32 lokasi yang menggunakan model hibrid seperti di Taman Melati, ia memberi ruang kepada persatuan tempatan menjana rezeki secara beretika. Saya mengenali penganjur seperti Haji Ismail di Taman Melati yang sering mengembalikan hasil yang diperoleh kepada komuniti dalam bentuk kebajikan dan kenduri—satu contoh nilai Ihsan dalam kerangka Madani.


Isu bazar Ramadan jadi isu 3R?


Walaupun wujud pertikaian kerana faktor keuntungan, saya ingin tegaskan bahawa Ops Tegas akan tetap menjadi instrumen utama reformasi melalui audit identiti bagi membanteras amalan 'Ali Baba'. Kita tidak mahu permit murah dan bantuan kanopi disabotaj oleh yuran pengurusan penganjur yang tidak munasabah.


Saya juga amat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memainkan sentimen 3R (Agama, Bangsa, Raja) melalui fitnah media sosial kononnya sistem digital meminggirkan peniaga Melayu. Saya tegaskan, sistem E-Undi adalah manifestasi Keadilan Madani yang telus untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang.


Namun, satu perkara yang perlu diberikan perhatian serius adalah soal harga jualan. Meskipun harga sewa tapak kini lebih murah, saya dapati masih ada segelintir peniaga yang menjual juadah dengan harga yang tidak munasabah. Pengurangan beban kos lesen sepatutnya dinikmati bersama oleh rakyat dalam bentuk harga makanan yang lebih rendah.


Oleh itu, pihak berkuasa wajar melakukan pemantauan lebih ketat. Selain DBKL, saya berharap pihak KPDN melalui Ops Pantau dapat memastikan tiada manipulasi harga ke atas jualan makanan di bazar di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sinergi antara agensi ini amat penting agar penjimatan kos permit tidak "ditelan" oleh margin keuntungan berlebihan peniaga.


Secara tuntasnya, reformasi tadbir urus di bawah payung Malaysia Madani bukan bertujuan untuk menutup pintu rezeki sesiapa, sebaliknya untuk mendemokrasikan peluang ekonomi agar ia tidak hanya berlegar di kalangan 'kroni penganjur' atau broker tapak.


Kejayaan pengurusan Bazar Ramadan 2026 ini bergantung kepada keberanian kita untuk membetulkan ketirisan masa lalu melalui penguatkuasaan yang tegas dan adil. Biarlah keharmonian yang kita saksikan di lokasi seperti Taman Melati menjadi penanda aras, di mana penganjur dan pihak berkuasa saling melengkapi tanpa menindas peniaga kecil.


Matlamat kita adalah memastikan keberkatan Ramadan dirasai oleh penjaja melalui keuntungan yang halal dan dinikmati pengguna melalui harga yang munasabah. Keadilan ekonomi ini adalah hak milik semua warga kota, dan itulah intipati sebenar tadbir urus Malaysia Madani.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page