top of page

Reformasi asingkan kuasa peguam negara, pendakwa raya masuki fasa kedua

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
DS Azalina mengadakan perbincangan dengan pasukan khas teknikal
DS Azalina mengadakan perbincangan dengan pasukan khas teknikal

Usaha reformasi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa kedua pelaksanaan dengan tumpuan diberikan untuk memuktamadkan struktur institusi dan keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata fasa tersebut juga melibatkan pindaan undang-undang berkaitan dan penggubalan undang-undang baharu.


Beliau berkata perkara itu selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh dalam Laporan Akhir Kajian Komparatif yang telah diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal diketuai timbalannya M. Kulasegaran semalam.


"Fasa kedua ini akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan struktur institusi, penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.


Azalina berkata laporan tersebut merumuskan hasil kajian komprehensif yang merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa serta pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah.


"Langkah ini mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat sejajar dengan kerangka falsafah Malaysia MADANI," ujarnya.


Terdahulu beliau mengadakan perbincangan dengan pasukan khas teknikal tersebut yang turut dihadiri Kulasegaran, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat dan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara.


Hadir sama Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman, Peguam Cara II Negara Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar dan Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ezri Wahab.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page