top of page

Realiti Politik Baharu, UMNO Perlu Menang Perang Persepsi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ANALISIS: Baru-baru ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan di dalam pidatonya bahawa satu anjakan luar biasa mesti dilakukan bagi memastikan UMNO tidak terus terperangkap dalam persepsi negatif rakyat. Menurut beliau, perubahan tersebut bukan lagi satu pilihan atau sekadar retorik politik, sebaliknya satu keperluan mendesak demi kelangsungan parti.


Beliau mengibaratkan UMNO sebagai sebuah produk yang masih “laku”, namun dipalit dengan persepsi negatif yang kronik. Prasangka dan prejudis inilah yang menyebabkan UMNO terdampar di “pantai politik”, bergelut dengan longgokan persepsi sangar yang semakin sukar diperbetulkan. Kesannya bukan sahaja menjejaskan penyokong setia, malah menjarakkan mereka yang cuba mendekati dan mengenali parti itu.


Kenyataan ini jujur, tetapi pada masa sama mendedahkan krisis yang lebih mendalam dalam UMNO iaitu krisis kepercayaan, bukan semata-mata krisis pemasaran politik.


Produk dan persepsi


Analogi “produk yang baik tetapi persepsi negatif” menarik perhatian saya. Hakikatnya, dalam politik moden, produk dan persepsi tidak boleh dipisahkan. Persepsi lahir daripada rekod kuasa, watak kepimpinan, konsistensi prinsip dan keberanian melakukan pembaharuan. Jika persepsi rakyat buruk, ia bukan semata-mata akibat “prasangka” tetapi refleksi pengalaman politik yang mereka rasai.

Penulis - Shahbudin Embun
Penulis - Shahbudin Embun

Apabila disebut bahawa mereka yang ingin “menjinak diri dan mengenali kita” turut lari, ini mengesahkan satu realiti pahit: UMNO bukan lagi parti aspirasi, khususnya bagi generasi muda dan pengundi bandar. Masalahnya bukan ketiadaan dasar, tetapi ketiadaan keyakinan bahawa UMNO benar-benar berubah, bukan sekadar bertukar slogan.


Seruan untuk mewujudkan “keluarbiasaan” hanya bermakna jika diterjemahkan secara nyata — reformasi dalaman yang tegas, pemutusan jelas daripada beban lama, pembinaan kepimpinan berwibawa dan politik yang lebih rendah ego tetapi tinggi integriti. Tanpa itu, “keluarbiasaan” akan kekal sebagai retorik dalaman yang tidak mampu menembusi tembok skeptisisme rakyat.


Ringkasnya, UMNO tidak kekurangan produk atau sejarah. Yang semakin menipis ialah kepercayaan, dan kepercayaan tidak boleh ditebus dengan kata-kata — ia hanya lahir melalui keberanian untuk berubah secara menyakitkan tetapi jujur.


Bukan masa berbulan madu


Mesej Presiden UMNO ini wajar difahami sebagai satu sistem peringatan dini (Early Warning System) yang perlu “disuntik” kepada seluruh kepimpinan parti — daripada akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi. Ini bukan masa untuk berbulan madu, apatah lagi syok sendiri. Zaman tersebut telah berakhir.


Inilah saatnya setiap pimpinan bermuhasabah secara jujur dan berani demi kelangsungan UMNO. Era berpuak-puak, bersengketa sesama sendiri dan bekerja dalam zon selesa juga harus ditamatkan. Politik hari ini bergerak pantas, dinamik dan sukar diramal; maka pemikiran serta tindakan kerja mesti seiring dengan peredaran masa dan realiti politik kontemporari.


Kuasa dan kedudukan yang ada di peringkat kepimpinan tertinggi wajar digunakan untuk “meneropong ke bawah” — mendengar denyut nadi rakyat yang memerlukan bantuan, bimbingan dan sentuhan kemanusiaan. Elakkan protokol yang berlebihan sehingga pintu pejabat pimpinan sukar ditemui, jauh daripada rakyat dan ahli yang memerlukan sokongan serta pembelaan.


Akhirnya, persoalan besar yang pernah dibangkitkan oleh Presiden sendiri harus dijawab oleh ahli-ahli UMNO dengan melakukan tindakan, bukan sekadar ingatan.


Perlu diingatkan juga terdapat lebih dua juta pengundi berusia 18 tahun. Siapakah yang benar-benar melakukan engagement sejak awal? Di manakah usaha tersusun mendekati mereka? Anak-anak inilah yang semakin menjauh, berulang kali meninggalkan UMNO dalam beberapa siri pilihanraya.


Soalnya kini, apakah remedial action yang benar-benar konkrit akan dilakukan oleh ahli-ahli UMNO untuk mengembalikan kepercayaan generasi muda ini, termasuk pengundi atas pagar?


Tanpa tindakan yang jelas dan konsisten, maka amaran Presiden UMNO ini berisiko hanya tinggal sebagai kata-kata. Ahli UMNO wajib melaksanakan segala usaha yang dirancang untuk memastikan UMNO akan terus relevan.


Shahbudin Embun merupakan seorang penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur)

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page