Realisasikan impian: Serian New Zealand Sarawak, Belaga Bahagian ke 13


Impian dan harapan rakyat Sarawak untuk mengecapi pembangunan yang lebih baik memuncak pada era Kerajaan Perpaduan apabila hubungan kerajaan pusat dan negeri ketika ini berada pada tahap terbaik.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Senator Abun Sui Anyit, kenyataan Premier Sarawak baru baru ini yang membayangkan Bahagian Serian di negeri itu seolah olah mini New Zealand diharap boleh merealisasikan impian penduduk agar kawasan itu dimajukan sebagai tarikan pelancongan.
Selain itu, katanya, terdapat satu lagi impian iaitu penduduk di Belaga yang mahu kawasan itu diangkat sebagai Bahagian Sarawak ke-13 kerana kedudukan geografinya berdekatan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
"Ini menyebabkan saya terpanggil untuk menyuarakan impian rakyat Daerah Belaga agar kawasan diangkat menjadi Bahagian Sarawak yang ke-13.
"Kalau Serian diimpikan menjadi macam mini New Zealand, kami rakyat di Daerah Belaga, memadai dengan mengangkat daerah ini menjadi Bahagian Ke-13," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Malaysia itu lagi, beliau pernah berbincang secara tidak rasmi bersama Primier Sarawak berkenaan kedudukan Belaga dan berharap ada tindakan lanjut berhubung hal tersebut.
"Saya ingin ingatkan Premier tentang jawapan beliau kepada saya semasa Hari Raya Kedua tempoh hari yang kita perlu berunding untuk menaikkan Daerah Belaga sebagai Bahagian Ke-13.
"Saya yakin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg mampu merealisasikan harapan rakyat Belaga ini dalam masa terdekat," katanya lagi.
Abun Sui berharap gandingan antara Premier Abang Johari dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baik dan mantap sekarang mampu memajukan Belaga sebagai Bahagian Ke-13.
Katanya, memandangkan Nusantara semakin rancak dimajukan di sebelah Kalimantan, Daerah Belaga sebagai penyumbang tenaga elektrik terbesar Sarawak yang bersebelahan Nusantara amat perlu dimajukan seiring dengan Bahagian - Bahagian lain di Sarawak.




Comments