RCI: UJSB atasi defisit TH, usaha dapat jaminan Sukuk RM19.9 bilion
- Helmi Mohd Foad
- 6 minutes ago
- 2 min read

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati penubuhan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada penghujung 2018 merupakan langkah penstrukturan semula yang diperlukan untuk mengatasi krisis kewangan TH.
Namun model itu pada masa sama mewujudkan komitmen fiskal yang besar kepada kerajaan serta risiko jangka panjang terhadap kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Menurut laporan RCI, penubuhan UJSB dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri pada 7 Disember 2018 yang meluluskan pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH bagi menangani defisit antara aset dan liabilitinya.
"Penubuhan Urusharta Jamaah adalah untuk mengatasi krisis kewangan yang dihadapi oleh LTH."
"Tujuan utama pelan ini adalah bagi menangani defisit antara aset dan liabiliti LTH," menurut laporan tersebut yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin.
RCI berkata, UJSB yang ditubuhkan pada 14 Disember 2018 merupakan satu daripada empat cadangan yang dipertimbangkan jawatankuasa khas dianggotai wakil Pejabat Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan pengurusan kanan TH.
Menurut laporan itu, jawatankuasa berkenaan menyifatkan penubuhan UJSB merupakan pilihan paling sesuai berdasarkan masalah kewangan yang sedang dihadapi TH.
RCI menjelaskan pemindahan aset kurang berdaya saing kepada UJSB dirangka sebagai penyelesaian jangka panjang dengan aset-aset tersebut digantikan menggunakan instrumen yang mampu menjana pulangan lebih stabil bagi menutup jurang defisit.
"Aset kurang berdaya saing LTH dipindahkan kepada UJSB dan diganti dengan instrumen yang dapat menjana pendapatan yang lebih stabil pada nilai premium bagi memastikan penutupan jurang defisit.
"UJSB diharap dapat memulihkan dan menambah baik nilai aset yang dipindahkan," kata laporan itu.
Menurut suruhanjaya diraja itu, konsep penubuhan UJSB diadaptasi daripada model Danaharta Nasional Berhad yang digunakan bagi menangani krisis kewangan Asia pada 1998.
Melalui pelaksanaan pelan pemulihan itu, TH memindahkan 106 saham tersenarai, sebuah syarikat perladangan dan 29 aset hartanah kepada UJSB melalui perjanjian yang dimeterai pada 27 Disember 2018.
RCI berkata aset-aset berkenaan dipindahkan pada nilai RM19.9 bilion, jauh lebih tinggi berbanding nilai pasaran ketika itu sebanyak RM9.7 billion iaitu mewakili premium RM10.2 bilion.
Sebagai balasan, UJSB menerbitkan dua siri Sukuk Murabahah berkupon sifar yang dilanggan sepenuhnya oleh TH serta pembayaran tunai RM300 juta, ujar laporan RCI itu.
Laporan tersebut turut menjelaskan Jemaah Menteri pada April 2019 meluluskan peruntukan RM17.8 bilion bagi membiayai kekurangan penebusan Sukuk UJSB termasuk RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan baki RM17.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 serta Ke-13.
Namun, RCI mengingatkan struktur berkenaan turut meletakkan risiko besar kepada kerajaan memandangkan Sukuk UJSB merupakan komitmen yang perlu ditanggung di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959.
Lebih penting, laporan itu menyatakan hasil pengakruan Sukuk kini menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan TH.
"Hasil pengakruan Sukuk UJSB menyumbang hampir 26 peratus daripada keseluruhan pendapatan tahunan LTH," katanya.
"Malah ia melebihi satu pertiga daripada jumlah pengagihan keuntungan tahunan kepada pendeposit."
Dalam pada itu, RCI memberi amaran bahawa kegagalan UJSB memenuhi tanggungjawabnya boleh membawa implikasi jauh lebih besar daripada sekadar menjejaskan kedudukan kewangan TH.
"Kegagalan atau kekangan dalam melunaskan obligasi UJSB merupakan risiko terbesar LTH dan boleh meruncingkan kedudukan kewangan LTH pada masa hadapan serta membawa ekosistem kewangan negara kepada krisis kewangan yang lebih besar," katanya.
