RCI TH: Umat Islam wajib sedar tanggungjawab baiki kelemahan insitusi
- Sidiqin Omar

- 2 hours ago
- 2 min read

Umat Islam di Malaysia seharusnya tidak termakan dengan dakyah pembangkang kononnya pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dirancang untuk memalukan orang Melayu.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman, orang Melayu wajib memahami bahawa pengukuhan institusi, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus adalah tanggungjawab mereka bagi memastikan harta umat Islam diurus dengan baik.
"Orang Melayu dan umat Islam kena sedar, kalau kita tidak ada inisiatif, tidak bertanya, tidak mendesak dan tidak menuntut pertanggungjawaban, hasilnya tidak akan kelihatan.
"Kita tidak boleh hanya marah apabila masalah berlaku. Kita perlu memastikan institusi kita mempunyai sistem semak dan imbang yang kuat," katanya.

Menurut beliau, Tabung Haji mempunyai kedudukan yang jauh lebih besar daripada sebuah institusi kewangan kerana ia berkait secara langsung dengan persediaan umat Islam untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
"Tabung Haji adalah institusi umat Islam. Bila ia kukuh, yang mendapat manfaat bukan sahaja pendeposit hari ini, tetapi generasi akan datang.
"Ibadah haji juga memerlukan pengurusan yang profesional, cekap, telus dan dipercayai. Sebab itu reformasi Tabung Haji sebenarnya adalah reformasi untuk kepentingan umat Islam dan masa depan orang Melayu.
"Ini bukan soal siapa dapat kredit politik. Yang penting, umat Islam akhirnya mendapat sebuah Tabung Haji yang lebih kukuh, telus dan bertanggungjawab.
"Itulah makna sebenar reformasi, bukan sekadar membuka fail lama, tetapi memastikan kesilapan lama tidak diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.
Pengurusan terus lemah, sejarah mungkin berulang
Haniff berkata pendedahan RCI juga penting kerana tanpa siasatan dan laporan tersebut, rakyat mungkin tidak mengetahui sepenuhnya masalah yang berlaku dalam pengurusan TH pada tempoh yang disiasat.
Katanya laporan RCI antara lain mendedahkan isu berkaitan 14 pelaburan bermasalah serta proses kelulusan yang dipersoalkan, termasuk dakwaan penyembunyian maklumat dan manipulasi laporan kesesuaian pelaburan. Kerajaan juga memaklumkan bahawa lima kertas siasatan telah dibuka dan tuntutan sivil sedang diusahakan.
"Bayangkan kalau semua ini tidak disiasat, tidak didedahkan dan semuanya didiamkan. Rakyat mungkin terus melihat angka keuntungan tanpa mengetahui apa yang berlaku di belakang tabir.
"RCI memberikan satu rekod sejarah. Ia membolehkan rakyat tahu apa yang berlaku dan paling penting, kita boleh bina sistem supaya perkara sama tidak berulang," katanya.
Beliau berkata pendedahan tersebut tidak sepatutnya dilihat sebagai usaha untuk menghukum mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya sebagai mekanisme untuk memastikan pertanggungjawaban dilaksanakan berdasarkan proses undang-undang.
Haniff turut mengaitkan proses reformasi dengan tekanan berterusan daripada aktivis masyarakat sivil, NGO dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang sejak sekian lama menuntut ketelusan, audit dan pertanggungjawaban dalam pengurusan institusi awam.
"Kalau tiada tekanan daripada masyarakat dan aktivis, kalau parti politik tidak membawa isu ini, mungkin proses perubahan tidak berlaku dengan kadar yang sama.
"Inilah maksudnya demokrasi. Rakyat bersuara, aktivis mendesak, parti politik membawa isu dan akhirnya kerajaan mengambil tindakan. Hasilnya ialah pembaikan institusi," katanya.
Beliau berkata sokongan masyarakat terhadap usaha reformasi perlu diteruskan supaya pendedahan RCI bukan berakhir sebagai laporan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan perubahan struktur.
Haniff menegaskan reformasi tidak akan lengkap sekiranya hanya institusi yang diperbaiki tetapi individu yang melakukan kesalahan tidak dipertanggungjawabkan.
"Kalau ada kesalahan, siapa yang bersalah perlu berdepan proses undang-undang. Tidak boleh ada budaya melindungi individu kerana jawatan, pengaruh atau kepentingan politik.
"Kerajaan perlu memastikan prinsipnya jelas. Siapa yang bersalah, bawa ke muka pengadilan; siapa yang tidak bersalah, jangan dihukum. Itu pertanggungjawaban," katanya lagi.




Comments