RCI TH sangkal fitnah pembangkang aset dijual kepada bukan Islam
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 2 min read

Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji disifatkan telah menamatkan fitnah Pas dan Umno pada 2019 berhubung dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 menjual aset Tabung Haji kepada pihak bukan Islam.
Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman berkata, laporan RCI secara jelas mendedahkan isu sebenar yang membelenggu Tabung Haji iaitu kelemahan tadbir urus dan pengurusan pada era pentadbiran BN yang diterajui pemimpin Umno, bukannya penjualan aset kepada bukan Islam seperti yang sering dimainkan oleh pihak tertentu.
Beliau berkata, sehingga laporan RCI didedahkan kepada umum, tidak terdapat walau sebaris ayat yang menyatakan aset Tabung Haji telah jatuh ke tangan bukan Islam atau dijual oleh kerajaan PH ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.
"Laporan RCI telah menjelaskan punca sebenar masalah yang berlaku dalam Tabung Haji. Apa yang didedahkan ialah isu salah tadbir urus dan kelemahan pengurusan pada era pentadbiran terdahulu, bukannya dakwaan kononnya aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam.
"Selama bertahun-tahun rakyat disogok dengan naratif bahawa Lim Guan Eng dan kerajaan PH menjual aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam. Hakikatnya, laporan RCI tidak menyebut perkara itu walaupun sekali," katanya kepada Suara Keadilan.
Pas perlu minta maaf
Sehubungan itu, Haniff menggesa Pas supaya menarik balik tuduhan yang selama ini dilemparkan terhadap kerajaan PH kerana ianya terbukti tidak berasaskan fakta.

"Jika benar mereka berpegang kepada fakta, Pas perlu mengakui bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan memohon maaf kepada rakyat kerana menyebarkan naratif yang mengelirukan.
"Mereka tidak boleh terus memainkan sentimen agama dan kaum untuk meraih sokongan politik sedangkan laporan rasmi RCI sendiri tidak menyokong dakwaan itu," katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan laporan rasmi, bukannya propaganda politik yang sengaja dimainkan untuk membangkitkan kebencian.
Menurutnya, pendedahan RCI sepatutnya menjadi titik tolak kepada semua pihak untuk berhenti mempolitikkan institusi Tabung Haji dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus serta memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan.




Comments