top of page

RCI TH: Jangan fokus istilah ‘sakau’, rugi, rosot nilai RM13 bilion angkara siapa?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 minutes ago
  • 3 min read

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, mempersoalkan kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad yang tidak faham istilah 'sakau' diungkapkan sesetengah pihak kerana tidak menemuinya dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).


Syam berkata, ketiadaan istilah tersebut dalam laporan RCI tidak bermakna tiada kerugian, penyelewengan, rosot nilai atau masalah tadbir urus yang ditemui sepanjang siasatan.


"‘Sakau’ bukan istilah audit. Tapi tak ada perkataan sakau bukan bermaksud tak ada kerugian, penyelewengan, rosot nilai dan masalah tadbir urus yang RCI jumpa," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurutnya, RCI berperanan mencari fakta manakala siasatan berkaitan kemungkinan berlaku kesalahan jenayah perlu ditentukan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Beliau berkata PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah membuka lima kertas siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), dengan 127 individu dirakam keterangan.


"SPRM, siasatan antaranya bawah Seksyen 16, 17 dan 18 Akta SPRM 2009. Beberapa siri tangkapan/reman telah dibuat.


"Pendakwa akan dibuat dan dakwa jika cukup bukti sakau dilakukan. Mahkamah akan tentukan bersalah atau tidak. Kita tunggu lah," katanya.


Syam turut menegaskan RCI Tabung Haji bukan ditubuhkan oleh Kerajaan MADANI, sebaliknya keputusan untuk menubuhkan RCI dibuat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, yang Umno-BN adalah sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika itu, dan semestinya bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan.


"RCI ini bukan kerja Kerajaan MADANI. RCI diputuskan zaman Muhyiddin, Kerajaan PN yang turut disertai BN dan Pas. RCI berjalan ketika Datuk Seri Ismail Sabri jadi PM. Enam Pesuruhjaya RCI dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah," katanya.

Syam Ghaz
Syam Ghaz

Mengulas dapatan RCI mengenai akaun Tabung Haji bagi 2017, Syam berkata institusi berkenaan sepatutnya mencatat kerugian RM1.4 bilion jika piawaian MFRS digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.


Beliau berkata RCI turut merekodkan bahawa Tabung Haji tidak membuat rosot nilai terhadap beberapa pelaburan serta pembiayaan anak syarikat dan instrumen pendapatan tetap.


Katanya, isu itu penting kerana terdapat syarat tertentu sebelum keuntungan boleh diagihkan kepada pendeposit berdasarkan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.


"RCI berpendapat pembayaran keuntungan 2014–2017 menggunakan RAV tidak selaras dengan Seksyen 22," katanya.


Syam turut mempersoalkan tindakan Jabatan Audit Negara yang mengeluarkan Sijil Audit Bersih meskipun terdapat teguran berkaitan perubahan polisi rosot nilai.


"Jabatan Audit Negara memang ada tegur, tapi Ketua Audit Negara keluarkan Emphasis of Matter pada 16 Julai 2018 mengenai perubahan polisi rosot nilai yang tidak konsisten.


"Tapi persoalanya kalau dah tegur, kenapa masih bagi sijil audit bersih?" soalnya.


Menurut Syam, RCI kemudiannya berpendapat Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya memberikan Sijil Audit Bersih dan perkara tersebut sepatutnya diberikan qualified opinion atau dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.


Beliau berkata RCI turut menyenaraikan 14 pelaburan untuk diaudit secara forensik, termasuk Al-Rawda, Putrajaya Perdana, Trurich, PT TH Indo Plantations, FGV, TH Properties dan TH Marine.


Antara pelaburan yang dibangkitkan termasuk sekitar RM1.55 bilion yang dibayar secara pendahuluan bagi pajakan empat hotel Al-Rawda, pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana serta RM364.31 juta dalam Trurich yang kemudiannya dirosot nilai sepenuhnya.


Syam mendakwa rekod Hansard pada 11 Ogos 2026 menunjukkan hampir RM13 bilion kerugian daripada 14 pelaburan bermasalah, dengan tujuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus.


"Jadi jangan pusing cerita hanya sebab takda perkataan ‘sakau’ dalam RCI," katanya.


Terdahulu, pada program Musyawarah Nasional 'Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji' yang dianjurkan di Kuala Lumpur hari ini, bekas Ketua Audit Negara Madinah Mohamad berkata beliau tidak menemui sebarang bukti kecurian (sakau) dalam Lembaga Tabung Haji (TH) ketika mengetuai Jabatan Audit Negara.


Katanya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang dijalankan bersama pasukannya ketika itu adalah berdasarkan piawaian serta bukti audit.


Madinah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta pada program berkenaan yang mahu tahu jika wujud penyelewengan ketika beliau menjalankan audit ke atas TH.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.


Memetik laporan media pada 13 Ogos lalu, Madinah pernah menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh RCI TH yang ditubuhkan oleh kerajaan PN waktu itu walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan.


Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.


Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page