top of page

RCI TH: Jangan amalkan ghurur, balut perbuatan jahat dengan amalan baik

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

Ibadah haji mengikut syarat wajibnya hanya layak ditunaikan oleh orang yang benar benar berkemampuan. Termasuklah dari segi kuota haji dan sebagainya.


Hal itu ditimbulkan oleh Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri (gambar) dalam siri podcast bersama Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos yang membincangkan isu berkenaan salah urus dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.


Menurut beliau, haji yang dibiayai sebagaimana sebelum ini oleh pemimpin parti politik untuk tujuan tertentu amatlah tidak wajar dan katanya, jatuh ke dalam amalan ghurur, iaitu suatu perbuatan tidak baik dengan membalutnya dengan perbuatan baik.


"Sebenarnya ia satu benda yang salah. Pertamanya (sebab) dia tidak mampu pergi. Dulu saya pernah pergi (menunaikan) haji, masa saya jadi pelajar, saya lihat ada jemaah haji. Kemudian ada satu haji itu namanya Haji 1MDB, dibiayai sepenuhnya (pemimpin BN).


"Orang yang dapat itu kata seronok. Tapi kita tidak tahu bahawa hal itu sebenarnya sesuatu yang disembunyikan, iaitu ghurur, sesuatu kejahatan yang ditampal dengan nampak benda yang baik," ujarnya.


Ustaz Syamsul Firdaus dalam siaran itu turut membidas tindakan seorang pemimpin parti politik yang menyalahguna kuota haji untuk membawa pengikutnya menunaikan haji dengan matlamat tertentu.


"Apa yang telah didedahkan oleh salah seorang ahli Dewan Rakyat tentang pengalaman politik beliau didakwa pernah berlaku dalam pengalamannya, (iaitu) pesaing beliau dalam pertandingan di peringkat bahagian parti tersebut, telah menggunakan kedudukan untuk membawa ramai daripada prospek-prospek yang boleh menyokong beliau untuk kedudukan itu bagi mengerjakan ibadah haji dengan kedudukannya.


"Tapi yang saya tertarik apabila mereka dibiayai sepenuhnya (dan) orang itu belum mampu. Mungkin ketika itu keupayaan itu bukan sekadar diukur dari segi kewangan, tetapi dari segi giliran (memnunaikan haji) kerana ramai sangat daftar ketika itu.


"Sekarang ini senang.. siapa daftar, akan ditanya cukup tak duit. Cerita lama pula, kalau tidak berupaya untuk pergi (haji) kerana tak ada simpanan, tapi tiba-tiba boleh pergi.


"Tapi kalau dibiayai sepenuhnya, katakan (guna) duit peribadi, (itu) tak kisahlah, ini daripada dana yang diambil dari penyimpan-penyimpan lain. Kalau dari keuntungan (pelaburan) pun kena agih kepada pendeposit. Ini tidak.. semata-mata kerana nak memancing sokongan," katanya.


Tegas Syamsul, tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai mempunyai unsur rasuah apabila ibadah haji dijadikan medium untuk mendapatkan sokongan, meskipun ia dilaksanakan atas nama kebajikan dan ibadah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page