RCI TH bukan badan pendakwaan, hanya dedah kepincangan
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 2 min read

Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji perlu dilihat sebagai peluang untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana kelemahan tadbir urus institusi simpanan umat Islam boleh berlaku dan bukannya sekadar dijadikan polemik politik mengenai siapa yang dinamakan atau didakwa.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kekeliruan mengenai fungsi RCI perlu diperbetulkan kerana suruhanjaya berkenaan bukan badan pendakwaan yang menentukan seseorang individu bersalah atau melakukan kesalahan jenayah.
Sebaliknya beliau berkata RCI merupakan badan bebas yang menjalankan siasatan terhadap sesuatu isu atau kepincangan sebelum laporannya dikemukakan kepada kerajaan dan seterusnya dibentangkan kepada rakyat.
"RCI bukan badan pendakwa. Kerana itu di dalam RCI tidak ditulis nama-nama individu tersebut satu-persatu.
"RCI hanya buat siasatan, kemuka laporan, SPRM, polis buat siasatan. Itu dia punya mekanisme," katanya ketika berucap pada program bedah siasat Laporan RCI Tabung Haji (TH) di Bangi pada Selasa.
Program anjuran Wanita KEADILAN itu turut menampilkan Senator Dr Jufitri Joha dan Ahli MPP KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai panel.
Hadir sama Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan.
Siti Aishah berkata rakyat juga perlu memahami bahawa isu Tabung Haji bukan semata-mata persoalan politik atau kaum kerana institusi itu menguruskan wang pendeposit Islam yang menyimpan untuk menunaikan ibadah haji.
Justeru itu, katanya sebarang kelemahan tadbir urus, penyalahgunaan kuasa atau keputusan kewangan yang merugikan institusi berkenaan perlu dijelaskan secara terbuka.
"Tabung Haji ini bukan isunya orang Melayu tetapi isunya Islam," katanya.
Mengimbas tempoh sebelum pertukaran kerajaan pada 2018, Siti Aishah berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah beberapa peringatan berhubung kedudukan kewangan dan tadbir urus TH yang menurutnya telah dibangkitkan Bank Negara Malaysia.
Beliau berkata perkara itu penting kerana keputusan berkaitan kewangan TH ketika itu perlu dinilai dalam konteks keadaan sebenar aset dan liabiliti institusi berkenaan.
Antara yang dibangkitkannya ialah pembayaran bonus kepada kakitangan TH pada 2014 yang menurut beliau bernilai RM74 juta selain persoalan mengenai pembayaran hibah kepada pendeposit ketika kedudukan kewangan institusi itu berdepan tekanan.
"Bukan tak boleh bagi bonus. Kamu bagi bonus yang luar biasa tatkala kamu baru mengambil alih Tabung Haji, RM74 juta, dari satu bulan bonus sehingga 11 bulan bonus.
"Tak rasa tak cukup, isytihar pula perkara kedua, bonus tambahan dua bulan bonus dalam keadaan kita tahu Tabung Haji bermasalah," katanya.
Siti Aishah yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN membangkitkan isu pembayaran hibah dengan menegaskan pulangan tinggi kepada pendeposit tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah agihan semata-mata tanpa melihat sumber kewangan yang digunakan.
Menurut beliau perkara itu antara fakta yang perlu diterangkan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memahami mengapa langkah pemulihan TH akhirnya perlu dilakukan selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Beliau berkata, antara langkah penting ketika itu ialah penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bagi mengambil alih aset TH yang bermasalah dan membolehkan kedudukan kewangan institusi berkenaan distruktur semula.
Menurut Siti Aishah, langkah berkenaan sering dijadikan bahan polemik politik termasuk dakwaan kononnya aset dan tanah milik TH dijual kepada pihak bukan Islam.
"Pada Disember 2018, sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, langkah penyelamatan dimulakan.
"UJSB diwujudkan kerana pada ketika kita mengambil alih TH, sekiranya liabiliti dan aset, jumlah keuntungan dan hutang tidak dipisahkan, makanya TH akan runtuh pada ketika itu," katanya.
Beliau berkata penubuhan UJSB membolehkan aset yang membebankan kedudukan kewangan TH dipindahkan supaya institusi itu dapat kembali memberi tumpuan kepada tanggungjawab utamanya terhadap pendeposit.




Comments