top of page

RCI TH: AMK gesa pihak berkuasa panggil Asyraf Wajdi beri keterangan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak pihak berkuasa menyiasat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH).


Exco AMK Dzul Hilmi Zainol berkata, siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya terhenti selepas penahanan bekas menteri sahaja, sebaliknya semua individu yang mempunyai kaitan urusan dan keputusan yang berlaku ketika itu perlu dipanggil untuk memberikan keterangan.


"Saya bukan menyatakan beliau bersalah. Tetapi kalau kita benar-benar mahu mencari kebenaran, semua nama yang terlibat harus dipanggil ke meja siasatan kerana pada tahun 2017, Asyraf Wajdi hadir dalam majlis memeterai perjanjian pajakan hotel antara Tabung Haji dan Al-Rawda.


"Beliau hadir atas kapasiti sebagai timbalan menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia, mewakili Menteri ketika itu. Jadi saya ingin bertanya, apa yang beliau tahu tentang urusan tersebut? Apa peranan beliau ketika itu?" soalnya dalam satu kenyataan.


Setakat ini, seramai 11 individu termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan laporan RCI tersebut.

Sementara itu menurut Dzul Hilmi menegaskan, sekiranya Asyraf Wajdi tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku, tiada sebab untuk beliau takut dipanggil memberi keterangan.


"Undang-undang mesti dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan politik seseorang. Saya tidak meminta sesiapa dihukum tanpa bukti, cuma mahu pihak berkuasa siasat semua yang berkaitan.


"Jika Asyraf Wajdi tidak disiasat maka, rakyat terus tertanya-tanya dan membuat kesimpulan sendiri. Apa yang saya tidak mahu ialah rakyat melihat orang yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan disiasat manakala yang berada di dalam pentadbiran dibiar dan didiamkan begitu sahaja seolah-olah tidak perlu disentuh


"Kalau tidak bersalah, lepaskan dan bersihkan nama. Tetapi jangan biar persoalan rakyat terus tergantung. Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada institusi yang mereka amanahkan dengan wang dan harapan mereka," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page