RCI Tabung Haji: Tubuh pasukan khas, kenakan tindakan jenayah
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan perlu mengenakan tindakan jenayah ke atas sesiapa yang bertanggungjawab dalam salah urus di Tabung Haji (TH) manakala Lembaga TH wajar menggunakan saluran sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu salah urus dana institusi berkenaan.
Peguam Kanan, mantan Senator dan Ahli Parlimen Malaysia, Yusmadi Yusoff (gambar) berkata, satu pasukan khas juga wajar diwujudkan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap dana yang telah digunakan secara tidak wajar di Tabung Haji.
"Bagi saya, saya cadangkan pihak kerajaan gunakan tindakan jenayah. Pihak Tabung Haji tolong gunakan tindakan sivil. Wujudkan satu pasukan khas untuk mengambil tindakan terhadap dana yang telah digunakan secara tidak benar," katanya ketika ditemui pada himpunan menyokong perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat pagi tadi.
Yusmadi turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti keseluruhan laporan berkaitan Tabung Haji dan mengambil tindakan tegas selaras dengan mandat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong.
"Kita doakan Datuk Seri Anwar dapat segala laporan ini seterusnya mengambil sikap yang tegas seperti yang diberi mandat oleh Yang Dipertuan Agong," katanya.
Menurut Yusmadi, isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI tidak wajar dilihat sebagai kesalahan biasa kerana ianya membabitkan amanah yang diberikan rakyat kepada institusi berkenaan.
"Ini bukan pencurian biasa, ini khianat amanah rakyat. Khianat ini lebih besar daripada mencuri," katanya.
Beliau menjelaskan istilah khianat dalam konteks berkenaan merangkumi penyalahgunaan kedudukan, dana dan kepentingan politik.
Yusmadi turut berharap agar sesi perbahasan di Dewan Rakyat yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dapat diteruskan dengan serius bagi memastikan semua hal didedahkan.
Mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan ketika penerangan berkaitan RCI Tabung Haji berlangsung, Yusmadi berkata perkara itu menimbulkan persoalan.
bagaimanapun, katanya, siapa saja, atas nama pembangkang atau kerajaan yang bertanggungjawab dalam isu Tabung Haji perlu diambil tindakan.




Comments