top of page

RCI: Tabung Haji tersasar bila terlibat pelaburan berisiko

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 15 minutes ago
  • 3 min read

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati institusi itu telah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya apabila memperluaskan peranan sebagai “tonggak ekonomi ummah” sekali gus mendorong penglibatan dalam pelaburan berskala besar yang berada di luar kepakaran terasnya.


Laporan RCI berkata, tujuan asal TH adalah sebagai platform membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji serta menyediakan kemudahan simpanan kepada bakal jemaah bagi memastikan mereka mempunyai dana mencukupi untuk tujuan tersebut.


Bagaimanapun, visi baharu yang diperkenalkan itu menyebabkan TH melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pelaburan termasuk sektor hartanah dan perladangan secara besar-besaran, sedangkan institusi berkenaan tidak mempunyai kepakaran serta kemahiran mencukupi dalam bidang terbabit.


"Dengan visi ini, LTH telah melibatkan diri dalam pelaburan seperti hartanah dan perladangan secara besar-besaran sedangkan LTH tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran.


"Ini telah mengakibatkan LTH mengalami kerugian yang besar terutamanya dalam anak-anak syarikat," menurut laporan RCI yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada umum petang semalam.


Ia susulan keputusan Kabinet bersetuju menyahklasifikaskan dokumen suruhanjaya diraja itu.


Menurut suruhanjaya diraja itu, krisis kewangan TH bukan berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya hasil gabungan beberapa kelemahan tadbir urus termasuk strategi pelaburan yang tidak selari dengan objektif asal penubuhan, pemberian agihan keuntungan (hibah) yang tinggi serta peningkatan kos bantuan kewangan haji (HAFIS).


Dalam isu pengauditan, RCI membangkitkan persoalan mengenai ketegasan Jabatan Audit Negara (JAN) ketika menilai penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017.


Menurut laporan itu, TH menerima Sijil Audit Bersih bagi tempoh 2014 hingga 2017 walaupun laporan audit tahun kewangan 2017 mengandungi perkara “Emphasis of Matter”.


RCI memetik penjelasan Ketua Audit Negara (KAN) kepada Perdana Menteri [Tun Dr Mahathir Mohamad] pada 19 Disember 2018 yang menyatakan pendapat berteguran sepatutnya diberikan sekiranya tiada pelarasan dibuat terhadap dua penemuan material berkaitan perubahan polisi rosot nilai aset kewangan TH serta rosot nilai pelaburan dalam syarikat subsidiari dan bersekutu berjumlah RM227.81 juta.


Namun, hasil perbincangan, pendapat tanpa teguran dengan “Emphasis of Matter” diberikan pada 16 Julai 2018 dengan mengambil kira kemungkinan kesan terhadap persepsi pihak berkepentingan khususnya pendeposit TH.


RCI berpandangan pertimbangan terhadap persepsi pendeposit bukan sebahagian daripada skop pengauditan penyata kewangan dan JAN sepatutnya lebih tegas dalam melaksanakan tanggungjawab auditnya.


"Jelas bahawa JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan LTH. Sepatutnya untuk tahun kewangan 2017, JAN tidak sepatutnya memberi Sijil Audit Bersih," kata laporan itu.


Tanpa Sijil Audit Bersih tersebut, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2017 yang melibatkan hibah sebanyak 4.50 peratus dan hibah haji 1.75 peratus, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.75 bilion, demikian kata suruhanjaya itu.


Selain isu pelaburan dan audit, RCI turut memberi perhatian terhadap pemberian bantuan kewangan haji (HAFIS) yang semakin meningkat sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan TH.


Laporan itu menyatakan kos haji sebenar bagi jemaah Muassasah meningkat daripada RM15,553 pada 2013 kepada RM25,540 pada 2022.


Dalam tempoh 2014 hingga 2019, jemaah hanya dikenakan bayaran RM9,980 seorang manakala sebahagian kos ditanggung TH melalui HAFIS yang meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019.


RCI menganggarkan jumlah HAFIS boleh mencecah hampir RM400 juta setahun mulai 2022 dan berpotensi meningkat kepada RM742.47 juta setahun menjelang 2030 sekiranya kadar bayaran haji dikekalkan.


Peningkatan tanggungan itu, menurut RCI, akan terus menjejaskan keupayaan TH memberi pulangan kepada pendeposit kerana HAFIS dibiayai daripada keuntungan pelaburan institusi tersebut.


"Agihan keuntungan (hibah) yang rendah boleh menyebabkan pendeposit yang mempunyai jumlah deposit yang besar di LTH mencari peluang pelaburan lain," kata laporan itu.


RCI memberi amaran TH memerlukan dana sekurang-kurangnya RM60 bilion bagi menampung tahap HAFIS semasa manakala keperluan dana akan meningkat sekiranya kos subsidi haji terus bertambah.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page