RCI Tabung Haji: Lakukan siasatan secara menyeluruh, telus - AMK
- Azuan Ab Rahman

- 51 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menggesa dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) disiasat secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, pihak penguat kuasa perlu menjejaki pihak yang bertanggungjawab hingga ke akar umbi, termasuk meneliti tiga isu utama yang dibangkitkan RCI.
"Tiga isu paling kritikal ialah kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan serta pengiktirafan kerugian dan agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
"RCI mengenal pasti kelemahan serius dalam tadbir urus TH termasuk struktur pelantikan Lembaga yang tidak menetapkan syarat kelayakan dan kepakaran mencukupi," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, RCI turut merekodkan kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan serta pengiktirafan kerugian dan agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar TH.
"Persoalan juga timbul berhubung ketepatan pelaporan kewangan apabila keuntungan sekitar RM3.4 bilion yang dilaporkan pada 2017, selepas pelarasan, menunjukkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion," katanya.
Sehubungan itu, AMK menggesa Pasukan Khas Penguatkuasa membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan audit forensik bagi meneliti aliran wang serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Pihaknya turut menuntut tindakan tegas perlu diambil sekiranya wujud unsur salah guna kuasa, salah urus tadbir atau pecah amanah kerana TH menguruskan simpanan jutaan umat Islam.
"Sebarang bentuk salah guna kuasa, salah urus tadbir mahupun ketirisan dana dalam institusi ini bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah umat Islam," katanya lagi.




Comments