top of page

RCI Tabung Haji dedah kelemahan tadbir urus, tekanan dividen tinggi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 4 min read

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan krisis kewangan yang dihadapi institusi itu berpunca daripada beberapa kelemahan termasuk tadbir urus, tekanan untuk membayar hibah tinggi serta keputusan pelaburan yang meningkatkan risiko kewangan.


Laporan RCI setebal lebih 250 muka surat yang meneliti tempoh 2014 hingga 2020 mendapati, TH berdepan kedudukan kewangan kritikal pada tahun kewangan 2017 selepas semakan menunjukkan terdapat jurang antara aset dan liabiliti sekiranya piawaian perakaunan penuh digunakan.


Menurut rumusan laporan itu, jika piawaian Malaysian Financial Reporting Standard (MFRS) digunakan sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan dalam penyata kewangan ketika itu.


"Suruhanjaya mendapati beberapa perkara yang dilaporkan oleh PricewaterhouseCoopers dalam financial review tersebut adalah benar.


"Sekiranya piawaian MFRS diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, LTH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang direkodkan dalam Laporan Kewangan 2017," menurut laporan itu yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada umum petang semalam.


Kabinet semalam bersetuju laporan suruhanjaya diraja itu dinyahklasifikasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuat naik pautan laporan penuh di laman webnya.


RCI itu ditubuhkan selepas keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020 termasuk meneliti penemuan firma audit dan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) serta Roland Berger.


RCI yang dianggotai enam pesuruhjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif manakala anggotanya termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang kini Pengerusi TH.


Tiga lagi anggota ialah Pengerusi CARIASEAN Research and Advocacy dan Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim dan akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.


Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang ketika itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya berkenaan.


Laporan itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Menurut laporan itu, faktor utama yang dikenal pasti RCI ialah keghairahan memastikan kadar hibah tinggi antara 2014 hingga 2017 yang akhirnya memberi tekanan kepada kemampuan kewangan TH.


Katanya pembayaran hibah tinggi menyebabkan rizab TH menyusut dan mendorong institusi berkenaan mengambil risiko pelaburan yang lebih besar bagi memenuhi jangkaan pendeposit.


"Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum tahun 2018 telah menyebabkan rizab LTH menyusut," kata laporan berkenaan.


RCI turut mendapati tekanan untuk mengisytiharkan hibah tinggi menyebabkan pelaburan TH lebih cenderung kepada ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran.


Laporan itu menyatakan selepas pengumuman hibah pada kadar 1.25 peratus pada 2019, jumlah deposit TH berkurangan daripada kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman kepada RM69 bilion pada akhir tahun tersebut.


RCI turut membangkitkan isu berkaitan amalan perakaunan dalam menentukan kemampuan membayar hibah apabila mendapati pengurusan TH ketika itu menggunakan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) bagi tujuan pengiraan agihan keuntungan, bukannya nilai aset seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan beraudit.


"Penggunaan RAV dalam pengiraan agihan keuntungan (hibah) telah menjadikan nilai aset lebih tinggi berbanding dengan nilai yang dinyatakan dalam Laporan Penyata Kewangan Beraudit LTH," menurut laporan RCI.


RCI turut menyatakan TH tidak membuat rosot nilai terhadap beberapa pelaburan termasuk pelaburan dalam syarikat bersekutu, anak syarikat, instrumen pendapatan tetap serta pelaburan hartanah mengikut piawaian berkaitan.


Dari aspek tadbir urus, RCI mendapati beberapa kelemahan dalam Akta Tabung Haji 1995 termasuk kuasa pelantikan anggota Lembaga yang terlalu luas tanpa kriteria khusus berkaitan kepakaran.


Laporan itu menyatakan penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 menimbulkan keresahan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti institusi tersebut.


"Terdapat beberapa keputusan LTH seperti bayaran agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) didorong oleh unsur-unsur politik," menurut laporan RCI.


RCI turut mendapati penglibatan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi TH dalam anak-anak syarikat menyebabkan kurang fokus terhadap tugas hakiki serta mewujudkan risiko konflik kepentingan.


Dalan pada itu, RCI turut menyokong penstrukturan TH melalui Urusharta Jamaah yang ditubuhkan pada 2018 bagi menjadi sebahagian daripada pelan pemulihan untuk menangani jurang defisit antara aset dan liabiliti TH.


RCI menyatakan pemindahan aset kurang berdaya saing kepada Urusharta Jamaah bertujuan menggantikan aset tersebut dengan instrumen yang mampu menjana pendapatan lebih stabil bagi membantu pemulihan kewangan TH.


Antara cadangan utama RCI ialah memperkukuh kerangka tadbir urus TH termasuk menjadikan beberapa jawatankuasa utama seperti Panel Pelaburan, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Jawatankuasa Pengurusan Haji sebagai sebahagian daripada peruntukan Akta Tabung Haji.


RCI turut menyarankan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kewangan memainkan peranan lebih jelas dalam memastikan kawal selia terhadap Tabung Haji dilaksanakan secara berkesan termasuk dari aspek tadbir urus, pengawasan pelaburan dan pematuhan kepada prinsip pengurusan dana pendeposit.


"Dengan itu, suruhanjaya berpendapat kuasa Menteri dalam mengawal selia LTH wajar dikongsi bersama dua orang

Menteri iaitu Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan," katanya.


Untuk rekod, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga 2018 ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Menteri Agama ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Kedua duanya adalah ahli politik Umno.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page