RCI Tabung Haji: AMK bidas Akmal Saleh cuba 'alih tiang gol'
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh didakwa cuba mengalihkan fokus selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak selari dengan naratif politik yang dibawa parti itu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Danish Hairudin (gambar) berkata, Akmal sebelum ini antara pihak yang lantang mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan.
"Laporan sudah didedahkan dan beberapa tangkapan telah dibuat oleh badan penguatkuasa.
"Namun apabila apa yang didedahkan tidak menepati naratif politik yang mahu dibawa, beliau cuba mengalihkan tiang gol pula," katanya dalam kenyataan.
Danish turut mengingatkan bahawa Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya institusi yang mengurus amanah jutaan pendeposit.
Malah tegasnya, RCI tidak ditubuhkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, justeru kerajaan hari ini tidak seharusnya dipersalahkan atas dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
"Kalau benar mahu kebenaran, terima kebenaran itu sepenuhnya. Jangan cari RCI sampai jumpa jawapan yang kita suka," katanya.
Menerusi kenyataan tersebut beliau mempersoalkan mengapa isu seperti dakwaan amalan ‘creative accounting’, kelemahan tadbir urus serta pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus kurang diberi perhatian.
"Ini semua persoalan besar yang sepatutnya Akmal dan Umno jawab dan perjuangkan. Anehnya, bab ini senyap pula.
"Umno ada ahli Parlimen. Umno juga sebahagian daripada kerajaan. Kalau ada perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, bawa ke Parlimen, bahas, tanya dan desak jawapan," tegasnya.
Beliau sementara itu menyokong gesaan supaya laporan RCI didedahkan sepenuhnya, termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk mana-mana pihak.
"Kalau nak dedah, dedah semuanya. Bahaskan semuanya. Jangan hanya memilih bahagian tertentu untuk mengukuhkan naratif politik," tambahnya.




Comments