RCI kehakiman: Ketua Ketua Cabang KEADILAN Sarawak di belakang PM
- Suara Keadilan

- Jul 17
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Sarawak menzahirkan keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai telus, berprinsip dan sentiasa mengutamakan agenda reformasi serta kesejahteraan rakyat.
Dalam kenyataan bersama, mereka turut menyatakan bahawa sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Anwar yang juga Presiden parti.
"Kami berpandangan, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung sistem kehakiman seperti yang disuarakan oleh sembilan Ahli Parlimen KEADILAN diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.
"Isu tersebut seharusnya dibincangkan secara dalaman dan melalui saluran parti yang betul.
"Pendirian ini merupakan keputusan secara konsensus ahli mesyuarat Ketua Cabang KEADILAN Sarawak yang hadir dalam mesyuarat secara atas talian pada 14 Julai lalu.
"Ini mencerminkan kesatuan dan ketegasan dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti dan institusi Presiden," kata mereka.
Sehubungan itu kata mereka, kenyataan media bersama dikeluarkan bagi menunjukkan kesatuan Ketua Ketua Cabang KEADILAN Sarawak di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden KEADILAN.
"Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Negeri Sarawak sebagai komitmen bersama untuk memastikan kestabilan parti, keutuhan disiplin, dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti terus terpelihara," kata mereka lagi.
Untuk rekod, pada 7 Julai lalu beberapa Ahli Parlimen KEADILAN menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Dalam sidang media yang diadakan, Rafizi mendakwa pencalonan bagi beberapa jawatan hakim sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini, namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
Oleh itu, katanya, penjelasan dari pihak kerajaan diperlukan berhubung hal berkenaan.









Comments