
Kes rayuan bekas Perdana Menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan telah ditukar oleh laskar siber pro BN menjadi tohmahan jahat ke atas institusi kehakiman.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, taktik yang dilakukan oleh laskar siber pro BN dan penyokong Najib mengherotkan imej hakim hakim Mahkamah Persekutuan sebagai seolah olah tidak adil atau zalim kerana tidak menerima bukti baharu yang dibawakan pasukan peguam Najib boleh merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman negara pada jangka panjang.
"Hari ini kita lihat satu serangan terancang yang dilakukan kepada pihak mahkamah dan kehakiman di mana kononnya Najib dinafikan membawa masuk bukti baharu, dan ini adalah bukti mahkamah tak adil.
"Najib kononnya dizalimi, tidak dilayan dengan baik, peguam baru pun minta masa tambahan dan sebagainya.
"Ini merupakan tindakan yang merosakkan negara. Bila taburkan segala fitnah terhadap institusi kehakiman apa yang kamu dapat? Kamu nak hancurkan keyakinan rakyat terhadap sistem mahkamah? Tak nak pegang kepada keputusan mahkamah?
"Hakim mengikut prosedur yang diamalkan di seluruh dunia, iaitu kalau kamu ada bukti baru yang nak dikemukakan, ada syarat yang perlu dipenuhi dan bukti itu telah pun dikemukakan kepada hakim, dan mereka menolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan according to international legal practice.
"Kamu tidak boleh tengah tengah perbicaraan ikut suka nak tambah itu, ini. Ini merupakan delaying tactics (melewatkan perbicaraan). Begitu juga dengan pertukaran peguam, sedangkan seperti dimaklumkan tarikh perbicaraan sudah dimaklumkan. Bila tak dibenarkan lanjutan (masa untuk peguam baharu) dikatakan tak adil bagi Najib," katanya dalam sidang media bersama Ketua ketua Penerangan dan Komunikasi Pakatan Harapan di Pusat Media PH di Damansara Perdana, pagi tadi.
Menrut Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, naratif penyokong BN yang memperolok olokkan mahkamah amat merbahaya kerana BN merupakan kerajaan memerintah dan apabila mereka mentohmah mahkamah sebagai tidak adil maka kesannya rakyat akan mempersoalkan setiap keputusan hakim.
Perbuatan seperti itu, kata Khalid hanya akan menghancurkan negara demi kepentingan politik.
"Ini amat mengecewakan. Kita kena ada perasaan pertanggungjawaban. Kita nak supaya institusi kehakiman dihormati. Keputusan mahkamah dihormati.
"Jangan putar belit maklumat dan mengatakan hakim tak tau apa bukti, dah tolak. Hakim dah tau, dah dikemukakan, hanya tidak dibenarkan masuk dalam perbicaraan kerana tidak relevan. Ia bukan merupakan satu bukti yang boleh mengubah keputusan," katanya lagi.