Rayakan Deepavali, semarakkan prinsip keadilan, kesaksamaan
- Redzuan Shamsudin
- Nov 4, 2021
- 1 min read

Perayaan Deepavali yang disambut penganut Hindu hari ini diharap akan meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan berbilang kaum di Malaysia.
Selain meraikan hari besar penganut Hindu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengharapkan Deepavali akan menyemarakkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan rakyat.
"Perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya adalah hari besar buat penganut Hindu seluruhnya. Ia adalah hari kemenangan cahaya menundukkan kegelapan.
"Ini kesempatan baik untuk membaca dan menelaah manuskrip kuno penting ‘Thirukural’ yang membicarakan persoalan-persoalan besar tentang falsafah hidup, etika, prinsip moral dan keadilan.
"Antara baris penting yang cukup mengesankan adalah “Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma tatkala kita melupakan amalan kebaikan.”
"Selain penegasan ke arah menghidupkan amalan kebaikan, perayaan ini juga mengingatkan kita agar punya ‘conviction’ yang kukuh dalam menyemarakkan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan," kata Anwar dalam perutusan khas Deepavali.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga mengharapkan masa hadapan Malaysia yang lebih baik pasca Covid 19 dan rakyat akan melonjakkan kembali ekonomi serta mengekalkan kebertanggungjawaban sosial dalam era endemik.
"Malaysia punya potensi yang amat besar untuk mencipta lonjakan dalam pelbagai bidang atau lapangan.
"Saya tetap percaya perpaduan di kalangan rakyat terus kukuh dalam menolak perkauman dan menghidupkan kerukunan. Segala naratif yang menanam bibit dan syak wasangka antara kaum mesti kita lawan dan depani demi negara tercinta ini.
"“Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia," katanya lagi.
Comments