Ratu cantik transgender: Penyertaan rakyat M'sia dalam pertandingan dikecam
- Suara Keadilan

- 36 minutes ago
- 1 min read

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia di persada antarabangsa, malah bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
"Pihak JPM (HEA) menegaskan bahawa perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak dan dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli menyeru masyarakat supaya tidak mensensasikan atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah umat Islam.
"Pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan perundangan yang sedia ada," katanya.
Beliau berkata, pendirian itu diambil bagi memastikan nilai agama, moral dan kesusilaan terus dipelihara dalam masyarakat serta tidak diketepikan dalam perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa.




Comments