Rasuah: "Saya bukan diktator, boleh tangkap orang begitu sahaja"
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan seorang pemimpin diktator yang boleh sewenang-wenang mengarahkan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang dikatakan terlibat rasuah sedangkan siasatan masih belum dilengkapkan.
Perdana Menteri berkata pendakwaan terhadap sebarang kes termasuk rasuah perlu mengikut prosedur berserta bukti lengkap.
"Saya tidak mahu pegang jawatan kerajaan untuk melindungi. Ini keadaanya… oh Perdana Menteri mesti ambil tindakan tegas, tak ambil tindakan....tidak tegas. Perdana Menteri sebut anti rasuah tapi mengizinkan (perbuatan rasuah).
"Ini Perdana Menteri, bukan diktator. Saya ikut hukum dan lalui proses. Saya tidak boleh tangkap begitu sahaja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan di Penampang, Sabah hari ini.
Teks ucapan beliau dimuat naik di laman web Pejabat Perdana Menteri.
Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau perlu memastikan agar sistem perundangan dan kehakiman negara berjalan dengan baik tanpa campur tangan daripada eksekutif.
"Itu pernah kita lalui dulu. Saya tahu itu. Jangan minta saya ulangi sistem begitu, dan orang-orang begitu yang diajar sekarang," katanya.
Mengulas isu penyebaran video membabitkan wakil rakyat di Sabah yang dikaitkan dengan isu rasuah perlombongan, Perdana Menteri menjelaskan beliau telah bertanya perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun pendakwaan masih tidak dapat dibuat memandangkan bukti video itu "sekerat-kerat" selain keterangan saksi tidak lengkap.
"...kalau ikut hukum video sekerat-sekerat ini boleh disiasat, tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada mahkamah yang akan terima video sekerat-sekerat. Apa lagi zaman AI," katanya.
Kata beliau SPRM masih meneruskan siasatan kes tersebut selepas agensi anti-rasuah itu memperoleh video lengkap sebulan lalu.
"Maka SPRM rujuk kepada forensik untuk sahkan, dan itu adalah masalah siasatan. Maknanya siasatan yang lebih rapi boleh diteruskan," ujarnya.
Minggu lalu laporan media menyebut SPRM telah menyiapkan laporan forensik berkait rakaman video skandal perlombongan tersebut namun suruhanjaya itu enggan mengulas mengenai ketulenannya.
Skandal perlombongan itu didakwa berlaku pada tahun lalu selepas beberapa siri video mengaitkan beberapa wakil rakyat Sabah dengan isu terbabit telah disebarkan.