top of page

Rasuah, jenayah: Tiada tolak ansur, generasi muda tanggung beban hutang negara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 minutes ago
2 min read

Tiada tolak ansur terhadap rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, tanpa mengira siapa yang terlibat, tegas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran (gambar).


Beliau berkata, rasuah bukan jenayah tanpa mangsa kerana setiap ringgit yang hilang akibat skandal rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat termasuk membina sekolah, hospital, menyediakan biasiswa serta peluang pekerjaan.


"Hutang negara yang kita tanggung hari ini bukan sekadar angka dalam lembaran belanjawan. Ia adalah beban sebenar yang dipikul oleh rakyat dan yang lebih menyedihkan, oleh generasi muda yang tidak pernah terlibat dalam keputusan yang mencetuskannya.


"Anak muda kita hari ini sedang membayar hutang bagi kesalahan yang bukan mereka lakukan. Rasuah bukan jenayah tanpa mangsa. Mangsanya ialah rakyat," katanya dalam dalam muat naik di media sosial.


Yuneswaran berkata, apabila kesalahan dilakukan pemimpin negara dan pemegang amanah rakyat, ia bukan sekadar membabitkan jenayah kewangan, sebaliknya merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan rakyat melalui undi mereka.


Menurut Ahli Parlimen Segamat itu, permohonan maaf tidak boleh dijadikan pengganti kepada proses undang-undang dan keadilan.



"Jika ‘maaf’ sudah memadai sebagai jawapan, maka apa gunanya kita mempunyai undang-undang? Apa gunanya institusi kehakiman? Apa gunanya perbicaraan, keterangan dan hukuman?


"Keampunan mempunyai tempatnya dalam agama dan dalam hubungan sesama manusia. Keadilan pula mempunyai tempatnya dalam undang-undang. Yang satu tidak boleh menggantikan yang satu lagi," katanya.


Beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak melanggar garis merah yang ditetapkan, iaitu kedaulatan undang-undang.


"Garis merah itu bukan sempadan politik yang boleh dipindahkan mengikut keadaan atau kepentingan. Ia adalah asas yang menentukan sama ada negara ini ditadbir oleh peraturan atau ditadbir oleh budi bicara," ujarnya.


Yuneswaran berkata, sebagai wakil rakyat, beliau melihat isu berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan tanggungjawab untuk memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira kedudukan seseorang.


Katanya, perpaduan negara tidak boleh dibina hanya melalui perkongsian budaya dan penganjuran majlis rasmi, sebaliknya perlu berasaskan kepercayaan rakyat bahawa negara berlaku adil kepada semua.


Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian supaya tiada individu dikecualikan daripada tindakan undang-undang termasuk pemimpin kerajaan.


"Saya berdiri atas pendirian yang jelas dan tidak berbelah bagi, tiada tolak ansur terhadap rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, tanpa mengira siapa yang terlibat.


"Tiada sesiapa terkecuali daripada undang-undang bukan Menteri, bukan Ahli Parlimen, bukan sesiapa pun,” katanya.


Beliau juga mengingatkan bahawa institusi penguatkuasaan dan kehakiman mesti dibiarkan bekerja tanpa campur tangan, tanpa tekanan dan tanpa jalan pintas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page