Rangkaian spektrum internet 5G di Malaysia berkembang pantas, malah lebih pantas daripada pengembangan rangkaian 4G sebelum ini pada tahun pertama beroperasi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Johari Ghani (BN - Titiwangsa) berkenaan rangkaian 5G pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini.
"Pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini sedang giat dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara meliputi 80% liputan di kawasan berpenduduk. Sehingga 30 September 2023, sebanyak 5,873 tapak 5G telah siap dibangunkan
"Perkhidmatan 5G kini mencapai 70.2% liputan di kawasan berpenduduk setakat 30 September.
"Jumlah langganan, 2.49 juta langganan telah direkodkan. Sehingga kini 6 syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G, iaitu CelcomDigi, Maxis, You Mobile, TM, YTL dan You Do," katanya.
Beliau juga memaklumkan pada 31 Ogos lalu kerajaan telah mengumumkan pakej 5G Rahmah. Katanya, dalam sebulan terdapat 50,991 orang yang telah melanggan pakej 5G tersebut.
Mengenai soalan tambahan Johari, apakah model perniagaan DNB akan menemui sustainability kerana pelaburan besar dan langganan kurang, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, model perniagaan DNB selepas ini juga meliputi syarikat perniagaan besar dan dijangka boleh meraih perolehan yang lebih baik.
"Isu sustainability, di banyak negara (misalnya) Korea Selatan di mana tahap penembusan 5G 95%, langganan di kalangan pelanggan memang rendah tidak lebih 50%.
"Tetapi fokus 5G ialah perniagaan," katanya.
Menurut beliau, baru baru ini Perdana Menteri telah melancarkan private local network 5G yang pertama di Malaysia yang akan digunakan oleh Petronas. Katanya, pakej perniagaan tersebut boleh menjana pulangan yang baik kepada pembekal perkhidmatan.
"Ini adalah salah satu perkata yang paling penting. Di mana kemampuan 5G akan dapat dimaksimakan oleh syarikat perniagaan. Ini akan menjadi penyumbang kepada sustainability," katanya lagi.
Untuk rekod, soalan mengenai rangkaian 5G adalah yang pertama dalam sesi mesyuarat ketiga, penggal kedua, parlimen ke 15 yang bermula hari ini sehingga 30 November depan.
Comments