Rangka kerja pembangunan komuniti India diperlukan menjelang RMK-13
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) menyeru semua wakil rakyat India tanpa mengira parti politik, termasuk pemimpin NGO, golongan profesional dan pempengaruh di seluruh negara untuk bersama-sama menganjurkan sidang 'Meja Bulat Perpaduan India Malaysia' dalam tempoh 14 hari akan datang.
Beliau berkata, cadangan penganjuran sidang itu adalah sebagai usaha menyatukan suara komuniti India menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, sudah terlalu lama masyarakat India di negara ini menanti kemunculan pemimpin yang mampu mengatasi perpecahan, menunaikan janji melalui tindakan, serta menyatukan suara menggantikan persengketaan politik yang berlarutan tanpa kesudahan.
Justeru, beliau menyeru masyarakat India merangka satu Memorandum India Bersatu dengan tuntutan jelas dan boleh dilaksanakan untuk dipersembahkan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Gunaraj menyifatkan Anwar, yang juga Presiden KEADILAN sebagai seorang pemimpin yang telah menunjukkan kesediaan untuk mendengar, namun peluang perlu diberikan kepada beliau untuk mendengar suara masyarakat India secara kolektif untuk menentukan jenis pembangunan yang menguntungkan semua.
''Mari kita berdiri bersama sebelum RMK-13 diumumkan, agar kita tidak lagi berbicara tentang peminggiran, tetapi tentang mobilisasi dan kemajuan.
''Jika kita gagal melakukannya sekarang, kita mungkin tidak akan mendapat peluang sebegini lagi untuk tempoh yang lama.
''Ini adalah detik penentu, bukan sahaja untuk para pemimpin, tetapi untuk masa depan setiap anak muda India Malaysia yang sedang tertanya-tanya adakah kita masih penting dalam wacana negara,'' kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Gunaraj turut menegaskan bahawa komuniti India tidak lagi memerlukan sidang media untuk tatapan kamera atau kehadiran 'pahlawan papan kekunci' menyatakan kelemahan kaum itu sebaliknya komuniti itu perlukan jalan penyelesaian kepada masalah yang telah membelenggu sejak beberapa dekad lalu.
''Kita tidak memerlukan lebih ramai pemimpin yang membina jenama, sebaliknya mencari jalan penyelesaian.
''Apa yang kita perlukan dengan segera adalah perpaduan, keberanian dan kepimpinan.
''Saya bersuara bukan sebagai ahli politik dan bukan juga sebagai wakil mana-mana parti, tetapi sebagai anak kepada komuniti ini. Sebagai saudara kepada setiap rakyat India Malaysia yang bangun pada setiap pagi dengan harapan untuk hari esok yang lebih baik,'' ujarnya lagi.