Rang Undang-Undang Warga Emas bakal dibentangkan tahun depan
- Suara Keadilan
- Jul 1
- 1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bertujuan melindungi hak dan kesejahteraan golongan itu, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata, ketika ini pihaknya sedang menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak pemain industri dan kerajaan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
"KPWKM bercadang menyerahkan draf itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelang akhir tahun ini
"Apa yang kita lakukan sekarang ialah kembali kepada pemain industri dan pihak-pihak berkepentingan untuk berunding semula dengan mereka.
"Kita juga perlu merujuk kepada setiap negeri kerana rang undang-undang itu bukan hanya untuk penduduk di Semenanjung sahaja," katanya dipetik.
Nancy berkata begitu pada sidang media selepas merasmikan Persidangan ASEAN + Republik Korea mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Duta Besar Republik Korea ke ASEAN Lee Jang Keun.
RUU Warga Emas dirangka bagi melindungi dan memperkasakan golongan berumur di negara ini dengan mengambil kira pembangunan fizikal dan sosial yang sesuai dengan keperluan mereka.
Langkah itu sebagai persediaan Malaysia menjadi negara tua menjelang 2043, iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.
Sementara itu, Nancy sebagai mengulas persidangan semalam berkata, minat yang semakin meningkat dalam industri penjagaan telah menyumbang kepada keperluan untuk perbincangan yang lebih luas.
"Kita mahu menyegerakan perkara ini. Industri ini berkembang dengan pesat, ramai yang berminat dan mahu menjadi sebahagian daripada proses penggubalan undang-undang menerusi perbincangan yang menyeluruh," katanya.
Comments