Rancangan struktur 2040: Pulau Pinang buka sesi libat urus awam
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Pulau Pinang menggesa orang awam, komuniti profesional dan pihak berkepentingan untuk menyertai sesi publisiti serta penyertaan awam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2040, khususnya berkaitan dasar pembangunan cerun yang sedang dikaji semula.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (gambar) berkata, sesi itu adalah platform penting bagi rakyat menyuarakan pandangan mengenai hala tuju pembangunan negeri memandangkan RSNPP diteliti setiap 10 tahun.
"Sesi ini terbuka kepada semua pihak — individu, komuniti, badan profesional, sektor swasta dan pertubuhan — untuk memberikan pandangan terhadap dasar pembangunan negeri, termasuk isu pembangunan cerun.
"Kita mengambil maklum semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan. Inilah masanya rakyat menyatakan pendapat mereka mengenai masa depan Pulau Pinang," katanya dipetik.
RSNPP 2040 dilancarkan EXCO Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye pada Rabu antara lain bagi menilai semula beberapa dasar ditetapkan sebelum ini.
Antara pertimbangan yang dibuat termasuk semakan terhadap larangan pembangunan melebihi 76 meter dari paras laut, yang sebelum ini ditetapkan tanpa rekod jelas justifikasi teknikal.
Namun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah semakan berkenaan dan menyifatkan kajian semula dasar pembangunan cerun sebagai berisiko serta boleh menjejaskan keselamatan.
"Kita perlu tahu apa asas teknikal bagi penetapan paras ketinggian itu. Negeri lain seperti Wilayah Persekutuan menggunakan had 500 kaki.
"Sebab itu publisiti awam ini diperlukan untuk mendapatkan maklumat pakar bagi membolehkan kerajaan negeri mendapatkan justifikasi dan pandangan teknikal yang lebih kukuh daripada pihak berkaitan seperti institut jurutera, persatuan arkitek dan perancang bandar sebelum sebarang ketetapan baharu dibuat," jelas Chow.





