Rancangan Malaysia ke-13 dijangka dibentang ke Parlimen Julai ini
- Suara Keadilan

- Mar 12
- 1 min read

Kerajaan dijangka membentangkan dokumen berkaitan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) ke Parlimen pada Julai ini, menurut Kementerian Ekonomi.
Timbalan Menteri Hanifah Hajar Taib memaklumkan Dewan Negara bahawa RMK13 penting bagi memastikan unjuran peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi berjaya dicapai dalam tempoh rancangan itu.
Kerajaan tegasnya akan terus beri tumpuan pada tiga perkara utama iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu, dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi.
"Penekanan akan diberi untuk mereformasikan struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi supaya aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dapat tercapai," katanya dipetik laporan media.
RMK13 akan menjadi pelan pembangunan sosioekonomi negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Kementerian Ekonomi sebelum ini dilapor sudah melaksana beberapa sesi libat urus termasuk bersama pihak kerajaan negeri dan pihak industri sebelum ini.
Sementara itu Hanifah turut memaklumkan Dewan Negara bahawa kerajaan akan beri tumpuan kepada beberapa strategi utama bagi mengatasi kesan konflik perdagangan global antara Amerika Syarikat dan China.
Ini termasuk meningkatkan perdagangan strategik dengan rakan dagang sedia ada dan baharu, dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan alternatif kepada syarikat multinasional bagi mempelbagaikan perdagangan.









Comments