Rampasan aset negara: Parlimen patut tentukan sikap kerajan bukan halang perbincangan
- Redzuan Shamsudin

- Jul 20, 2022
- 3 min read

Isu perampasan aset kerajaan Malaysia di luar negara oleh keputusan timbang tara yang dimenangi pewaris Kesultanan Sulu sepatutnya dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibincang atau mendapat penjelasan terperinci dan bukannya dihalang dengan sekatan 'sub judice'.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) hari ini mengkritik tindakan Yang Dipertua Dewan Tan Sri Azhar Azizan Harun kerana tidak membenarkan isu kedaulatan negara dibincangkan dalam sidang semalam.
"Yang diusul itu tak ada kaitan dengan kes mahkamah. Yang dibangkitkan mengapa mencetuskan krisis sekarang ini yang menyentuh soal kedaulatan negara
"Soal penafsiran keputusan Sepanyol dan Perancis itu betul tetapi sub judice kes mahkamah di Paris tak munasabah. Tak mengapa kalau keputusan Yang Dipertua begitu.
"Tetapi mengapa dihentikan pembayaran 2013 yang menyebabkan (berlaku) kes ini. Itu boleh dijelaskan oleh Kementerian Luar Negeri. Ia tak ada kaitan dengan mahkamah. Dari 1878 hingga 1939, kita guna keputusan 1939 dan kita jalankan hingga PM Pekan pandai pandai hentikan dan menyebabkan kita kalah dalam kes kerana tak tunai janji itu.
"Sekarang dalam 2019 (sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan), Peguam Negara Tomy Thomas mengusulkan perkara ini dapat diteliti semula dan disambung.
"Jadi kalau usul itu mohon pandangan Kementerian Luar atau kerajaan, bagi saya jangan isu ini dihalang semata mata kerana mahkamah (sub judice) dan mahkamah pula di luar negara," katanya dalam perbahasan Parlimen sesi pagi, hari ini.
Tegas Anwar, sekiranya Speaker berkeras dengan penggunaan istilah sub judice maka akan berlaku banyak isu seperti 1MDB dan sebagainya tidak boleh disentuh langsung oleh Parlimen.
Katanya, lebih wajar Speaker menangguhkan semua isu bagi memberi laluan memutuskan pendirian Parlimen dalam isu kedaulatan yang amat penting.
"(Hal ini) supaya Parlimen boleh memberi sokongan kepada kerajaan mengambil keputusan yang tepat. Kita harus sokong. Jadi seluruh Parlimen boleh bersetuju dan menyokong pendirian Perdana Menteri dan memberi penafsiran yang sah sejak 1939. (Kita) akan membantah usaha untuk mempertikai kedaulatan," kata Anwar.
Bagaimanapun Azhar cuba untuk menyalahkan penggunaan peraturan dewan yang tidak betul dalam membangkitkan isu sehingga menyebabkan beliau tidak dapat membenarkan hal itu diteruskan.
Katanya, peraturan 18.2 bukan untuk membahaskan usul kerana tiada ketetapan, bahas atau undi yang boleh dibenarkan.
Namun Ahli Parlimen Port Dickson tidak bersetuju dan berkata perbincangan tidak wajar dihalang dengan alasan teknikal kerana ianya melibatkan isu yang mustahak.
"Ia tidak menghalang perbincangan untuk ahli dewan, kalau selepas itu tak boleh bincang tak apa. Tetapi kementerian beri jawapan untuk menjawab hal dibangkitkan.
"Tetapi ahli Yang Berhormat bersedia dengan ketetapan 1878 dan keputusan Mahkamah Borneo 1939 (dokumen sokongan untuk berbahas), bayaran kepada kerajaan Inggeris sehingga kita merdeka dan diteruskan hingga 2013.
"Pada 2013 keputusan PM dari Pekan menyebabkan ada masalah sekarang. Kalau diteruskan (bayaran tahunan kepada Sulu) hari itu perkara ini tidak berbangkit. Perkara ini terbatal bila dihentikan pembayaran atas alasan pencerobohan.
"Tetapi perjanjian jelas. Saya baca keputusan Mahkamah Borneo 1939, semua penafsiran oleh kerajaan Inggeris sehingga kerajaan Malaysia, berbelas Peguam Negara semua membuat keputusan sama, mesti bayar ikut keputusan mahkamah 1939.
"Mengapa kita boleh biarkan keputusan yang mengganggu gugat dan digunakan untuk mempersoalkan hal hal lain (berkenaan Sabah)," katanya.
Justeru, beliau secara rasmi meminta kerajaan BN - PN untuk memberi penjelasan secara penuh berkaitan hal kedaulatan berkenaan dan tidak melarikan diri daripada menjawabnya.
"Sebab itu saya merayu paling kurang minta diberi keterangan terperinci dari PM atau Menteri Luar supaya beri kefahaman kepada rakyat dan negara berhubung isu kedaulatan kita.
"Bila dicabar di mahkamah, dipersoal semua hak Sabah yang menjadi satu wilayah Malaysia, mana boleh rakyat anggap ini satu perkara ringan. Siapa mencabar seinci tanah kita, (bermakna) mencabar seluruh rakyat.
"Saya harap semua YB dari Sabah tak kira parti mana, kalau tak bangun menyokong hal ini, saya minta rakyat Sabah hukum mereka," katanya lagi.
Speaker Tan Sri Azhar akhirnya beralah dan mengarahkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menjawab permintaan Ketua Pembangkang berkenaan pada masa yang sesuai.
"Oleh kerana YB telah membuat permintaan kepada pihak eksekutif, saya harap pihak eksekutif akan membuat pertimbangan (untuk memberikan penjelasan)," katanya.




Comments