Oleh: Azuan Ab Rahman
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan telah mengotakan janjinya kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Hal ini apabila beliau tidak mengambil sebarang elaun atau gaji sebagai Ahli Parlimen sebaliknya menyumbangkan semua pendapatan tersebut kepada rumah ibadat secara bergilir di sekitar kawasan parlimennya.
Menurut Ramanan, sebanyak RM332,000 disumbangkan kepada rumah-rumah ibadat setiap agama di seluruh kawasan Parlimen Sungai Buloh sejak Januari lalu.
"Fokus utama sumbangan tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada rumah ibadat untuk membantu kebajikan penduduk di sekitarnya dan mengalakkan hidup sebagai sebuah masyarakat prihatin.
"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan dan membangunkan sosioekonomi setiap komuniti di Parlimen Sungai Buloh," katanya menerusi akaun X miliknya.
Dalam satu program ceramah di Damansara pada November tahun lalu, Ramanan ketika berkempen PRU 15 berjanji menyerahkan gajinya untuk kegunaan rumah ibadat seperti masjid, kuil dan tokong untuk menggerakkan program kebajikan dan membantu rakyat miskin
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu menang kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan meraih 50,943 undi dalam pertembungan tujuh penjuru termasuk Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan Khairy Jamaluddin.
Dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Ramanan antara muka baharu Timbalan Menteri apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Comments