top of page

Ramanan berikrar KESUMA berorientasikan pencapaian

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan berikrar untuk menjadikan kementerian baharunya itu sebuah kementerian yang berorientasikan pencapaian.


Iltizam itu disampaikan oleh beliau pada sidang media sulung di kementeriannya di Putrajaya hari ini sempena permulaan tugas rasminya.


Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sejak 2023 itu berkata, beliau akan melakukan yang terbaik bersama pasukan baharunya selepas diamanahkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui kementerian tersebut.


"Saya boleh pastikan satu perkara, kementerian ini akan menjadi kementerian yang berorientasikan pencapaian, itu janji yang saya berikan.


"Saya sangat bertuah kerana berdasarkan taklimat hari ini, mereka (kakitangan Kementerian Sumber Manusia) semua tahu apa yang perlu mereka lakukan.


"Pada masa sama, kami juga akan memastikan sasaran yang telah ditetapkan, akan dapat dicapai," katanya.


Untuk rekod, Ramanan merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh yang menewaskan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2,693 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.


Di peringkat Kerajaan Perpaduan pula, beliau merupakan satu satunya Menteri mewakili kaum India.


Selain itu, Ramanan juga berikrar akan memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan merangkumi aspek perlindungan, keselamatan, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.


Beliau berkata, aspek-aspek berkenaan merupakan beberapa skop penting yang perlu dipantau oleh pihaknya.


"Kementerian Sumber Manusia juga berfungsi untuk semua pekerja Malaysia tanpa mengira kaum, latar belakang atau sektor pekerjaan.


"Pendekatan kita adalah berasaskan keadilan dan pelaksanaan yang berkesan. Saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk bekerja rapat dengan pengurusan tertinggi kementerian, warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi memastikan dasar serta inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya


Terdahulu, Ramanan memaklumkan, beliau telah bertemu dengan Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong bagi menyatakan kerjasama perlu dijalinkan antara kedua-dua pihak memandangkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berada di bawah pemantauan dan penyeliaan KUSKOP.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page