Ramadan MADANI YAPEIM: RM1.4 juta disalur, 42,000 terima manfaat
- Redzuan Shamsudin
- 2 hours ago
- 1 min read

Seramai lebih 42,000 golongan memerlukan di seluruh negara menerima manfaat menerusi Program Ramadan MADANI YAPEIM tahun ini, hasil peruntukan hampir RM1.4 juta yang digerakkan bagi inisiatif berkenaan.
Sejak Februari lalu, sebanyak 31 program telah dilaksanakan di pelbagai lokasi, memperluas capaian bantuan kepada kumpulan sasar termasuk pelajar, keluarga B40, golongan asnaf serta institusi masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selain bantuan tunai kepada individu, program tersebut turut menyalurkan sumbangan kepada surau, masjid serta sekolah agama dan KAFA.
"Program ini bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan secara langsung, malah memperkukuh peranan institusi komuniti dalam pembangunan ummah," katanya dipetik.

Menurut beliau, pendekatan MADANI yang dibawa turut menonjolkan nilai inklusiviti apabila penyertaan merentasi latar belakang agama.
"Ramadan bukan sekadar membawa kegembiraan kepada umat Islam, tetapi menjadi ruang mempererat silaturrahim dan ukhwah seluruh rakyat Malaysia," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 di Serendah, Selangor.
Program berkenaan bermula pada 25 Februari di Sabah sebelum diteruskan ke seluruh negara sebagai jelajah kebajikan berskala nasional.
Dr Zulkifli berharap inisiatif berterusan ini akan terus memperkukuh peranan YAPEIM dalam menyalurkan bantuan secara inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada golongan sasar.
