
Cadangan untuk memilih wakil PAS sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan dalam kerajaan negeri menerima tentangan dari rakyat Sabah.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Christina Liew berkata perkara itu boleh dibuktikan menerusi petisyen yang dikemukakan di change.org yang berjudul "PAS tidak dibenarkan masuk dalam Kabinet Sabah".
Petisyen itu dibuat oleh sebuah kumpulan "Better Sabah" dan telah memulakannya sejak tiga hari lalu dengan menyasarkan sebanyak 25,000 tandatangan dan setakat 4 Oktober, terdapat lebih 17,000 orang yang telah menandatangani petisyen tersebut.
Christina berpendapat, rakyat Sabah mempunyai sebab yang kukuh mengapa mereka menolak PAS.
"Rakyat tidak boleh terima PAS dalam kerajaan negeri sebab Sabah adalah negeri yang berbilang kaum dan etnik, mempunyai pelbagai agama dan pelbagai budaya yang mana kemakmuran bersama sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami.
"Orang Sabah meraikan prinsip kesederhanaan dan konsep kesatupaduan dalam kepelbagaian.
"Ideologi PAS tidak sesuai dengan Sabah, dan pelantikan wakil PAS dalam DUN Sabah akan menjejaskan karakter Sabah yang mewakili kepelbagaian," katanya dalam kenyataan.
Dalam perlembagaan Sabah, Yang di-Pertuan Negeri dapat melantik hingga enam anggota DUN yang tidak terpilih atas cadangan kerajaan negeri.
Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata PAS berharap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih seorang wakil PAS sebagai ADUN lantikan dalam kerajaan negeri.
Namun, cadangan itu bukan sahaja menerima tentangan rakyat Sabah, malah daripada rakan GRS sendiri, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan.
Christina juga menempelak kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang menganggap partinya layak dilantik dalam kerajaan negeri Sabah.
"PAS tidak bertanding pun di mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
"Rekod PAS yang sentiasa kalah dalam pilihan raya lalu di Sabah juga sudah terbukti menunjukkan rakyat Sabah menolak parti itu," katanya.