Rakyat tidak patut jadi mangsa percaturan politik sempit - Siti Aishah


Masa depan rakyat tidak sepatutnya dijadikan cagaran dalam percaturan politik sempit yang hanya berorientasikan kemenangan pilihanraya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail menegaskan bahawa budaya politik identiti yang memangsakan rakyat perlu ditolak sepenuhnya dari pentas politik negara.
"Kita menolak politik seperti ini. Rakyat bukan barang dagangan politik, alat mendapatkan kuasa.
"Politik sepatutnya mendidik, bukan menghasut, menyatukan bukan memecahkan," katanya ketika berucap membentangkan usul MPP di Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC, Melaka semalam.
Menerusi ucapannya Siti Aishah yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia Madani berhasrat untuk menjulang perpaduan serta mengangkat maruah rakyat.
Justeru, perwakilan dan pemerhati diseru supaya membuat pilihan terhadap bentuk politik yang mahu dibawa demi masa depan negara.
"Kebajikan rakyat perlu terus dijadikan keutamaan. Kita punyai pilihan - politik yang membahagikan rakyat atau politik yang menyatukan rakyat. Politik identiti atau politik prestasi. Kebencian atau memilih hormat.
"Kita boleh memilih kepentingan kelompok atau kita boleh memilih masa depan bersama. Maka perjuangan kita jelas," katanya sambil menegaskan bahawa Malaysia ialah milik rakyat dan kemakmurannya mesti dikongsi secara bersama oleh semua.




Comments