Rakyat tidak lupa kerjasama Pas - BN penghujungnya ketidakstabilan politik
- Azuan Ab Rahman

- Jul 20
- 1 min read

Pengundi di Negeri Sembilan diseru supaya menilai rekod pentadbiran, prinsip dan asas kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional (BN) dan bukan sekadar melihat gabungan politik baharu yang dibentuk ketika ini.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar) berkata, rakyat masih mengingati tempoh ketika Pas dan BN berada dalam kerajaan Perikatan Nasional selepas Pilihan Raya Umum 2018 yang akhirnya menyaksikan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan politik serta isu keyakinan pelabur.
"Kerjasama politik bukan sekadar soal mendapatkan kemenangan pilihan raya, ia adalah soal arah tuju negara, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap prinsip yang dibawa oleh sesebuah gabungan.
"Adakah kerjasama ini benar-benar berasaskan kesepakatan untuk rakyat, atau sekadar strategi mendapatkan kuasa politik?" soalnya dalam satu satu kenyataan.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor itu turut membangkitkan perubahan pendirian politik antara parti-parti tersebut yang menimbulkan persoalan sama ada prinsip diperjuangkan kekal atau sudah berubah mengikut kepentingan politik mereka.
"Apabila dua pihak yang sebelum ini mempunyai pendirian politik yang berbeza akhirnya memilih untuk bekerjasama demi kuasa, persoalan yang wajar ditanya oleh rakyat ialah apakah prinsip itu kekal, atau hanya bergantung kepada keperluan politik semasa?
"Jika dahulu terdapat perbezaan yang besar antara kedua-dua parti, rakyat berhak mengetahui apakah asas perubahan tersebut dan apakah jaminan bahawa kepentingan rakyat akan menjadi keutamaan," katanya.
Menerusi kenyataan tersebut, Dr Sathia menegaskan, politik matang bukan bermaksud tidak boleh bekerjasama, namun mesti dibina atas dasar yang jelas, kejujuran kepada rakyat dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik.
"Jangan gunakan prinsip hanya apabila ia menguntungkan, dan jangan tinggalkan prinsip apabila kuasa menjadi keutamaan.
"Kerana dalam politik, rakyat mungkin lupa kata-kata tetapi rakyat tidak akan lupa rekod dan tindakan," katanya.




Comments