Kekerapan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah sejak beliau dilantik sebagai ketua Kerajaan Persekutuan pada November 2022 meyakinkan rakyat Sabah bahawa kali ini isu infrastruktur daif dan kemiskinan akan dapat diatasi di bawah Malaysia Madani.
Menurut Naib Ketua Srikandi Keadilan Malaysia, Armisah Abd Garan, hal itu terbukti dengan kunjungan lawatan kerja sehari PM sempena Pesta Kaamatan baru baru ini.
Katanya, Anwar juga merupakan PM pertama yang hadir ke Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah.
"Datuk Seri Anwar merupakan individu paling konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah, malah sebelum menjadi Perdana Menteri. Malah beliau satu-satunya individu yang menyentuh isu Sabah dan Sarawak dalam sidang media pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lalu.
"Ini termasuk arahan kepada beberapa Kementerian seperti Kementerian Pendidikan dalam menyelesaikan isu infrastruktur sekolah daif serta Kementerian Kerja Raya bagi menyegerakan pembinaan lebuh raya Pan-Borneo serta jalan raya lain.
"Dalam ucapan beliau pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Mei lalu, PM mengulangi janji untuk memastikan bekalan air dan elektrik di Sabah diselesaikan dengan kadar segera.
"Dengan gerak kerja pantas PM dalam menyelesaikan isu infra di Sabah dan Sarawak, di sini jelas visi beliau yang ingin membangunkan Malaysia Timur dengan kadar segera terutama setelah kerajaan Indonesia mengumumkan perpindahan ibu negaranya ke Kalimantan," katanya dalam satu kenyataan.
Malah, kata Armisah, jadual padat lawatan Hari Kaamatan PM kelmarin yang bertemu warga tentera di Kem Tentera Lok Kawi dan mengumumkan beberapa peruntukan menambah baik infrastruktur serta kebajikan para tentera berjumlah lebih 242.8juta selain bersetuju memanjangkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) untuk manfaat pegawai dan anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta menunjukkan kesungguhan PM itu untuk menambah baik kebajikan anggota pertahanan.
"Begitu juga pengumuman projek menaik taraf Jalan Lok Kawi Dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut membabitkan kos RM67 juta selain pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi membabitkan kos RM23 juta.
"Di Papar PM mengumumkan peruntukan bagi penambahbaikkan Infrastruktur membabitkan Projek Membina Jalan Raya Bypass Pengalat – Papar berjumlah RM538 juta, Projek Menaik Taraf Jalan Raya Lok Kawi Dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar kos RM67 juta selain permohonan terbaru berjumlah RM1.85 juta meliputi Projek Sistem Perparitan Bagi Pekan Kinarut dan Taman Sungai Wang Kinarut serta Projek Naik Taraf Jalan Taman Limauan Kinarut yang melegakan warga tempatan," katanya.
Selain itu, kata Armisah, PM mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi projek penggerudian air bawah tanah dan membuka pusat rawatan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikunjunginya dan menunjukkan tekad Anwar untuk menyelesaikan seberapa banyak isu melibatkan kebajikan rakyat.
Oleh itu, katanya, rakyat Sabah tidak sangsi lagi bahawa mereka telah mendapat seorang pemimpin yang benar benar mahu negeri itu keluar daripada jurang kemiskinan dan kedaifan, yang tidak pernah dipandang berat oleh sembilan PM sebelum ini.
Juga, katanya, usaha Anwar menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah berada di peringkat akhir melalui jawatankuasa khas amat dihargai rakyat Sabah.
"Di sini jelas keprihatinan Datuk Seri Anwar terhadap dua wilayah Malaysia di kepulauan Borneo ini yang sebelumnya umpama dianak tirikan.
"Inilah maksud MADANI yang cuba diterapkan beliau, bukan hanya janji kosong tetapi suatu yang perlu dilaksana," katanya lagi.
Commentaires