top of page

Rakyat Sabah berhak dapat kerajaan prihatin, adil, bela semua pihak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Rakyat Sabah seharusnya memperkukuh kerjasama dan mengekalkan semangat saling menerima serta menghormati antara satu sama lain bagi memperteguh politik dan pentadbiran di negeri berkenaan.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata, rakyat Sabah seharusnya mengundi Pakatan Harapan (PH) yang tidak membawa politik perkauman atau kenegerian.


Beliau menegaskan, rakyat Sabah adalah setara dengan Semenanjung atau 'Malaya' dan mereka berhak mendapat kerajaan yang prihatin sebagaimana Kerajaan Madani yang tidak mengabaikan pembelaan dan tidak menyalahkan antara satu sama lain dalam hal pentadbiran.

"Kita boleh melangkah bersama sebagai satu pasukan pembina Sabah dan Malaysia. Kita ada khidmat bakti yang boleh disumbangkan untuk Sabah dan Malaysia tercinta ini. Ini harapan kita. Ini harapan Urang Sabah. Ini juga harapan saya orang Sarawak. Apa lagi orang Malaya, ini juga harapan mereka.


"Seterusnya marilah kita beralih daripada politik kelemahan dan politik kekecewaan masa lalu. Saya pun selalu menyalahkan pemimpin ini dan itu selama ini. Tetapi adakah saling menyalahkan sesama kita membawa kita jauh ke depan dan dapat menyaingi kehebatan negara-negara lain yang mendahului kita dalam banyak bidang?


"Saya akui memang tidak mudah untuk melupakan kelemahan, apatah lagi ketidakadilan jika ada di masa lampau. Meskipun begitu, luka yang dalam itu, jika masih ada, tidak boleh lagi dibiarkan menghalang kita untuk melangkah ke depan sambil menjulang semangat persaudaraan dan perpaduan sesama kita rakyat Malaysia tercinta ini.


"Apa yang sebenarnya saya pernah buat? Saya maafkan mereka yang silap, lemah dan berlaku tidak adil terhadap saya, masyarakat saya dan Sarawak amnya. Biar hati yang luka itu sembuh! Susah? Memang susah tetapi inilah jalannya iaitu kemaafan. Kalau tidak memaafkan, kita sendiri yang sakit dan menderita lalu tidak boleh melangkah maju ke depan," katanya dalam satu muat naik di Facebook beliau.


Oleh itu, Roland yang sebelum ini mendapat pendidikan tinggi Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) pada 1991-1994 menyeru rakan-rakan di Sabah agar bangkit dan lupakan masalah silam, kekecewaan atau dendam.


Katanya, Pakatan Harapan membawa politik yang lebih bersih ke Sabah. Oleh itu, katanya, lebih banyak DUN yang dimenangi akan memberi lebih kebaikan kepada politik di sana pada kemudian hari.


"Ini yang kita kata ‘Lawan Tetap Lawan!’ Biar kita bermula dari diri sendiri dulu. Jangan rasuah dan salah guna kuasa.


"Biarlah generasi baru bangkit. Kita sedang bersaing untuk mendapat tempat dalam perhatian dan keyakinan dunia terhadap Malaysia. Negara kecil kita sedang menuju negara maju berdaya saing. Kita dalam perhatian dan keyakinan dunia kerana rakyatnya cukup dewasa untuk untuk bersatu," ujarnya.


Dalam kenyataan sama, Roland yang juga Ketua Cabang KEADILAN Baram turut memetik kata-kata daripada usahawan China, Jack Ma bahawa Malaysia berada dalam perhatian dunia.


"Lihatlah apa Malaysia sedang buat. Malaysia ini ialah negara unggul pada masa akan datang. Inilah yang Kerajaan MADANI sedang beri tumpuan.


"Maka dengan kesatuan yang semakin kuat, kita sebagai sebuah negara mampu melatih dan melahirkan generasi baru terlatih untuk menghadapi cabaran dunia antarabangsa.


"Kita bertekad untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi yang hebat di seluruh dunia. Generasi baru terlatih ialah kekuatan kesiapsiagaan kita melaksanakan kerja-kerja besar hasil kerjasama perdagangan dan teknologi tersebut.


"Kita harus menerima hakikat bahawa negara yang mempunyai generasi muda yang kompeten adalah negara yang menawarkan jaminan kebolehan dan kemahiran untuk bekerjasama dengan negara kompeten lain di seluruh dunia," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page