Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Pulau Pinang, Sim Tze Tzin yakin pengundi negerinya akan tetap menolak pengkhianat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, rakyat tidak akan sekali-kali melupakan wakil rakyat yang mengkhianati kepercayaan yang diletakkan kepada mereka.
“Kami mengalu-alukan sebarang cabaran daripada sesiapa sahaja. KEADILAN bukan sahaja akan mempertahankan kerusi yang dipegangnya sekarang, kami juga akan bekerja keras untuk merampas kembali kerusi yang kami hilang kepada pengkhianat di DUN dan Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menganggap setiap pilihan raya adalah kompetitif dan partinya sentiasa menghormati pilihan pengundi serta berharap calon yang menang akan tetap setia kepada pengundi mereka.
Mengulas laporan bahawa ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang mempertimbangkan beberapa kerusi termasuk Parlimen Permatang Pauh, Sim berkata, KEADILAN bersedia untuk berdepan dengan cabaran daripada pengkhianat parti.
“Masyarakat di Permatang Pauh, terutama di Seberang Jaya, tahu siapa Dr Afif. Mereka telah lihat saya bekerja untuk mereka.
“Sesetengah ahli politik mendakwa mereka bekerja untuk rakyat. Tetapi, rakyat tahu siapa yang jujur dan ada ketika mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Ketika ini, KEADILAN memiliki tiga Ahli Parlimen dari Pulau Pinang iaitu Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Nurul Izzah Anwar (Permatang) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Di peringkat negeri, KEADILAN memiliki 12 ADUN.
Comments