top of page

Rakyat positif lakukan perubahan PRU 15 - Fahmi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 31, 2022
2 min read


Tiga minggu sebelum tarikh mengundi pada 19 November 2022 mood rakyat semakin positif untuk memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu di Malaysia.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, hal itu dapat dilihat dalam tinjauan terbaharu sama ada kajian sokongan pendapat atau di tapak tapak ceramah yang sentiasa dipenuhi khalayak.


"Saya lihat hari ini rakyat, sentimen mereka untuk satu perubahan agak positif, dan berdasarkan kaji selidik setakat ini yang disebut oleh Rafizi Ramli, saya lihat ada peluang yang sihat untuk lakukan perubahan," katanya selepas menghadiri Hari Psoriasis Sedunia 2022 di peringkat parlimen Lembah Pantai yang diadakan di NU Sentral, semalam.


Mengulas isu pengguguran beberapa muka lama sebagai calon KEADILAN dan perpindahan calon tertentu ke tempat yang sukar untuk menang, hal itu katanya tidak akan mendatangkan kesan mendalam.


Bagaimanapun Fahmi sinis apabila diminta mengulas pendapat pemimpin Bersatu, Azmin Ali yang menyifatkan KEADILAN parti keluarga, khususnya merujuk Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya yang menjadi calon kali ini


"Alhamdulillah family yang tidak rasuah, family tidak memporak perandakan negara dengan siri pengkhianatan. Keluarga yang berakhlak mulia, hidup sederhana. Tidak ada keluarga ahli pimpinan PH dan KEADILAN khususnya pergi sana sini naik jet, hidup mewah, jam pun pakai jenama Casio, tak bermewah pergi konsert di Las Vegas dan sebagainya. Ahli keluarga kami sederhana dan wasatiyah," katanya.


Fahmi menegaskan isu keluarga hanya boleh ditimbulkan sekiranya calon tidak layak. Namun, katanya tidak ada siapa akan mempertikaikan kepimpinan Dr Wan Azizah yang telah berkorban sejak sekian lama dan pernah dinobatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Ditanya gerak kerja di kawasan Lembah Pantai pula, Fahmi berkata persiapan sedang dilakukan sebaik baik mungkin. Cuma beliau sedikit ragu melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menempatkan pusat pembuangan undi di padang bola buat pertama kali.


Katanya, masalah keluar masuk orang yang tidak diingini sangat sukar dikawal apabila pusat mengundi ditempatkan di kawasan yang tidak berpagar seperti itu.


"Sedikit masalah perlu ditangani SPR khusus berkait dua pusat mengundi di padang bola. Apatah lagi padang itu pada Disember 2021 dan Mac tahun ini, padang itu yang pertama naik air (banjir). Apakah langkah yang diambil jika berlaku musibah banjir?


"Saya juga timbulkan isu keselamatan pusat mengundi di tempat terbuka. Saya tak pasti apa langkah yang diambil. Kalau sekolah ada pagar dan boleh dikawal apa yang berlaku.


"Di tempat terbuka sukar untuk kawal. Kita tidak mahu dalam waktu tertentu (masa kecederaaan) ada tindakan tidak disangka berlaku. Pusat mengundi tidak perlu terlalu terbuka," katanya.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page