Rakyat Palestin mesti dikembalikan hak asasi, diberi kemerdekaan - PM
- Redzuan Shamsudin
- Oct 20, 2023
- 2 min read

Persidangan Kemuncak ASEAN - Majlis Kerjasama Telok (GCC) di Riyadh hari ini menjadi titik bersejarah apabila Putera Mahkota Arab Saudi, Muhamad bin Salman menghimpun negara negara Asia Tenggara bersama pertubuhan GCC dalam usaha mencari perdamaian di bumi Palestin.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri sidang berkenaan, beliau telah menekankan perlunya rakyat Palestin dikembalikan hak bernegara untuk menjamin tiada lagi pembunuhan dan kekerasan Asia Barat.
"Hal Palestin ternyata menjadi tumpuan utama tatkala persidangan ini diadakan semasa Palestin, terutamanya Semenanjung Gaza terus dibedil tanpa henti dan meletakkan kedudukan hak, harta dan nyawa warga Palestin semakin terancam. Menyekat akses kepada keperluan asas ternyata memburukkan keadaan.
"Malaysia menegaskan bahawa prinsip dan hukum antarabangsa mesti diperteguh selain mengecam kemunafikan komuniti antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan pembantaian ke atas warga Palestin.
"Malaysia sekali lagi menekankan bahawa rakyat Palestin mesti dikembalikan haknya, diiktiraf hak kenegaraannya, dan juga mengakui sempadan pra-1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara.
"Malaysia juga menggesa agar koridor bantuan kemanusiaan mesti segera digerakkan bagi memudahkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan," kata Anwar dalam catatan di Facebook beliau.
Berkenaan hubungan ASEAN dan negara teluk beliau mengusulkan kerjasama ASEAN-GCC Comprehensive Economic Partnership Agreement (CEPA) bagi mengeratkan hubungan ekonomi antara kedua dua blok.
"Saya turut menyentuh mengenai hubungan istimewa ASEAN-GCC serta tantangan yang melingkunginya terutamanya aspek geopolitik yang pasti mengesankan hubungan ekonomi antara kedua-dua benua, dan ia mesti segera didepani bagi memaksimakan potensi ekonomi.
"Saya mengakhiri pernyataan saya dengan mengusulkan ASEAN-GCC Comprehensive Economic Partnership Agreement (CEPA) sebagai langkah ke depan demi rakyat kedua-dua rantau, dan akan menjadi perjanjian hubungan perdagangan bebas (FTA) yang pertama yang akan menggabungkan ASEAN dan negara-negara teluk," katanya lagi.
PM selepas berakhir sidang ASEAN-GCC dijadual akan mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh perniagaan di dunia Arab dan seterusnya akan melawat Turkiye dan Mesir untuk mencuba sedaya upaya mencari penyelesaian damai, atau sekurang kurangnya memastikan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke bumi Gaza yang sedang dikepung dari segenap penjuru menjelang serangan darat besar besaran yang bakal dilancarkan oleh tentera Israel pada bila bila masa.
Comments