top of page

Rakyat marhaen, persatuan peniaga rayu tarik balik bubar DUN Melaka, elak gelombang Covid 19



Rakyat biasa dan golongan peniaga di Melaka merayu agar Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Ali Rustam menarik balik pembubaran DUN negeri itu yang dilakukan pada 4 Oktober lalu.


Menurut salinan surat kepada Yang Dipertua Negeri dihantar oleh beberapa pertubuhan peniaga dan kemasyarakatan yang dilihat oleh Suara Keadilan, persatuan-persatuan tersebut menolak dilaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan pembubaran DUN kerana dikhuatiri akan mencetuskan semula gelombang pandemik Covid 19.


"Saya Azman Dollah bagi pihak koperasi Abang Beca dengan rendah diri dan seikhlasnya mengemukakan warkah ini bersama-sama dengan Gabungan Usahawan dan Penjaja Melaka, Koperasi Haji Sharief Melaka Berhad, Jawatankuasa Pembangunan Nelayan, Penggerak Komuniti Negeri dan Persatuan Sayur-sayuran Melaka, setelah memperhalusi kemelut politik, menghayati cabaran yang dilalui oleh rakyat Melaka dan melihat pengorbanan barisan hadapan, kami berpendapat adalah tidak wajar untuk menggadai nyawa serta mata pencarian rakyat negeri ini dengan mengadakan PRN tatkala pandemik Covid 19 masih belum terkawal," kata surat berkenaan.


Sehubungan itu, gabungan peniaga dan persatuan penduduk itu merayu TYT agar tidak meneruskan pembubaran DUN dengan menggunakan kuasa yang ada pada beliau untuk membatalkan pembubaran.


Seterusnya, kata mereka, Yang Dipertua Negeri boleh melantik kerajaan baharu berdasarkan pihak mana yang mempunyai majoriti di dalam DUN.


"TYT, Yang Dipertua Negeri mempunyai kuasa wewenang sepenuhnya menimbang semula persetujuan ke atas permintaan Ketua Menteri bagi membubarkan DUN dan menarik balik persetujuan terebut


"TYT boleh mengikut teladan dan titah Seri Paduka Baginda Tuanku Agong (di peringkat Persekutuan) dengan memilih seorang Ketua Menteri baharu tanpa membubarkan DUN demi keselamatan, kesejahteraan rakyat dan menjayakan ikhtiar pemulihan ekonomi negeri Melaka


"Dengan mengikut teladan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertua Negeri juga boleh mengelakkan gelombang baharu Covid 19 daripada melanda negeri sepertimana yang dialami Sabah semasa PRN pada 2020


"TYT mempunyai kuasa wewenang untuk memilih seorang Ketua Menteri baharu dengan memberi kuasa kepada pihak yang layak memerintah selagi mereka bertanggungjawab dan memenuhi keperluan masyarakat Melaka," kata surat itu.


Surat tersebut juga mengepilkan lampiran alasan perundangan untuk tidak berlakunya pembubaran DUN, sebagaimana duluan yang berlaku di Perak pada 2009 apabila Menteri Besar Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin hilang majoriti, dan Sultan Azlan Shah ketika itu melantik kerajaan baharu di pihak yang mempunyai sokongan majoriti.


"Selaras dengan perkara 8.2(b) Perlembagaan Negeri Melaka, Yang Dipertua tidak mempunyai budi bicara untuk mempersetujui permintaan Ketua Menteri bagi membubarkan DUN


"Sebaliknya selaras dengan prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin lawan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir, TYT sepatutnya memanggil kesemua 28 mantan ADUN untuk menghadap dan mengesahkan sokongan masing-masing bagi memilih Ketua Menteri baharu kerana TYT telah menjalankan kuarantin kendiri dari tanggal 30 September hingga 7 Oktober.


"Didapati proses penentuan Ketua Menteri tersebut tidak dilaksanakan, dan TYT telah mempersetujui permintaan Ketua Menteri (yang hilang majoriti) bagi membubarkan DUN secara tergesa-gesa," kata surat itu lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page