Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (gambar, kanan) dan Ahli Dewan Negeri Sri Setia, Halimey Abu Bakar berusaha mengumpulkan dana untuk membawa pulang seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Tamil Nadu, India.
Rakyat Malaysia itu, Neduianseleyan mengalami masalah jantung dan sedang dirawat di Royal Care Hospital, Tamil Nadu.
Sehubungan itu, Chean Chung bersama Halimey petang tadi mengunjungi anak kepada Neduianseleyan, N Yugunesawaran untuk mengetahui keadaan terbaharu bapa mereka.
"Masalah mereka jelas, perlukan wang tunai yang cukup, supaya boleh bawa beliau pulang ke tanah air
"Kedua kita perlu melancarkan satu tabung sebab angkanya (kos bawa pulang) agak besar dan di luar kemampuan kalau individu, Ahli Parlimen, ADUN atau pimpinan masyarakat (menyumbang dana).
"Ia perlukan crowd fund. Kita perlu derma kilat dalam masa terdekat dan kita harap boleh cukupkan. Di samping saya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya kos bawa balik dapat dimudahkan.
"Setakat ini kos anggaran RM200,000 untuk bawa pulang," kata Chean Chung ketika melawat ke rumah keluarga Neduianseleyan.
Dalam pada itu, Halimey pula berjanji untuk memohon bantuan kerajaan Selangor bagi menyumbang dana menggenapkan kos yang dianggarkan.
"Pertama saya akan bantu untuk mencukupkan kewangan. Saya akan mohon kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) sebab MBI boleh bantu untuk bantuan seperti ini.
"Kita tengok berapa sumbangan MBI, saya juga akan bincang dengan YB Gunaraj kerana beliau pemimpin masyarakat India di Selangor. Mungkin ada yang beliau boleh bantu," katanya.
Bagi Yugunesawaran pula, beliau amat merayu agar rakyat Malaysia boleh menderma untuk mencukupkan kos membawa pulang bapanya yang ke India atas urusan keluarga dan beribadat.
"Saya minta tolong bawa bapa saya pulang ke Malaysia. Tolong saya bawa bapa balik," katanya yang berharap bapanya boleh pulang untuk melihat cucu keluarga mereka yang bakal lahir.
Comments