Rakyat Malaysia perlu bangkit kecam serangan Israel ke atas Iran
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Machang dengan tegas menggesa seluruh parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia bangkit bersatu mendokong pendirian keras Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengecam kezaliman dilakukan rejim Israel terhadap Tehran.
Ketua Cabang KEADILAN Machang, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen menyifatkan serangan yang dilakukan Israel itu merupakan pencabulan ke atas kedaulatan sebuah negara yang tidak harus diizinkan seluruh masyarakat dunia.
Hal itu katanya, akan mencetuskan lebih banyak konflik yang sekali gus memuncakkan ketegangan serantau.
"Kami mengutuk serangan udara Israel yang dilancarkan ke atas Tehran pada awal pagi Jumaat 13 Jun lalu.

"Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini telah meragut nyawa wanita, kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa serta memusnahkan harta benda," katanya yang mengecam serangan itu dalam satu kenyataan.
Terbaharu dilaporkan, Israel dan Iran saling melancarkan serangan baharu pada awal pagi Ahad, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap tercetusnya perang di Asia Barat.
Menurut laporan Reuters, ketegangan memuncak selepas Israel memperluas kempen ketenteraan secara mengejut terhadap musuh utamanya dengan menyerang ladang gas terbesar dunia milik Iran, South Pars, yang terletak di wilayah Bushehr.
Ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat susulan tindak balas Iran melancarkan peluru berpandu balistik yang mengenai kota kota besar di Israel dan dibalas dengan pengeboman tanpa henti rejim Zionis ke atas ibu negara Iran, Tehran.
Comments