Rakyat Malaysia ditahan Israel selamat, desak pembebasan segera - Wisma Putra
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 1 min read

Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen penuh untuk menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera 15 rakyat negara ini yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 2 Oktober lalu.
Dalam kenyataan rasmi, Wisma Putra berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia, termasuk Amerika Syarikat, bagi mendapatkan kerjasama antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta Global Sumud Flotilla, khususnya 15 rakyat Malaysia," jelas kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, arahan telah dikeluarkan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman (Jordan) dan Kaherah (Mesir), untuk bekerjasama rapat dengan kedutaan ASEAN di Tel Aviv.
"Kementerian ini telah menerima maklumat bahawa semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat, dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
"Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia
"Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera," tegas kenyataan itu.
Malaysia menegaskan akan terus konsisten mempertahankan keselamatan rakyatnya di luar negara, selain menolak sebarang tindakan zalim yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.









Comments