top of page

Hanya urus 50% royalti: Dedah dokumen rasmi, laporan audit - KEADILAN T'ganu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read
ree

Dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Negeri hanya dibenarkan mengurus 50 peratus royalti petroleum yang diterima bagi tempoh 2023 hingga 2025 perlu dibuktikan melalui dokumen rasmi.


Menurut Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias, dakwaan tersebut perlu disertakan dengan bukti sahih dan sekiranya tidak, maka hal itu hanyalah dakwaan tidak berasas.


"Kami memandang serius kenyataan Menteri Besar, bagaimanapun dakwaan ini tidak boleh dibiarkan tanpa bukti rasmi dan perlu disemak segera melalui dokumen undang-undang, perjanjian dan laporan audit yang sahih," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, rekod rasmi negara menunjukkan sebaliknya. Perjanjian PETRONAS–Terengganu 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih kekal menjadi asas penetapan royalti lima peratus oleh PETRONAS bagi petroleum “didapati dan diperoleh” dalam kawasan negeri.


Akta Laut Wilayah 2012 pula mengehadkan sempadan laut negeri kepada tiga batu nautika dan menjadikan keperluan pembuktian lokasi telaga petroleum berada di dalam wilayah Terengganu yang boleh dituntut.


Dalam pada itu, Aiman menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara terkini juga tidak menyatakan sebarang penyelewengan atau penahanan pembayaran 50 peratus royalti petroleum oleh Kerajaan Persekutuan.

Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

"Jika dakwaan MB itu benar, beliau sepatutnya merujuk laporan audit atau menuntut audit forensik, bukan mengeluarkan kenyataan politik tanpa sandaran dokumen," ujarnya.


Kata Aiman, berdasarkan data rasmi terdapat peningkatan ketara dana khas petroleum kepada Terengganu iaitu daripada RM1.15 bilion pada 2018 meningkat kepada RM1.55 bilion pada 2024, menggambarkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan.


Selain itu, KEADILAN Terengganu menegaskan, cabaran sebenar negeri bukan terletak pada isu royalti semata-mata tetapi kelemahan tadbir urus serta ketiadaan strategi ekonomi jangka panjang.


Aiman berkata, ketiadaan pelan pembangunan industri baharu, strategi menarik pelaburan berkualiti, serta kegagalan menyediakan ekosistem pekerjaan yang mampu mengekalkan tenaga mahir menyebabkan ekonomi Terengganu terus bergantung kepada hasil bumi.


Beliau turut mengkritik perbelanjaan negeri yang disifatkan sebagai “low-impact, high-cost”, termasuk peruntukan RM6.4 juta bagi skim pinjaman kenderaan wakil rakyat, yang menurutnya tidak memposisikan rakyat sebagai penerima manfaat utama, terutama sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang boleh digerakkan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.


"Masalah sebenar yang mengekang kemajuan Terengganu ialah ketiadaan dasar ekonomi yang menyeluruh, perancangan jangka panjang yang lemah, serta pengurusan kewangan negeri yang tidak strategik.


"Negeri Terengganu tidak mempunyai pelan pembangunan industri baharu, tidak mempunyai strategi terarah untuk menarik masuk pelaburan berkualiti tinggi, serta gagal menyediakan ekosistem pekerjaan yang mampu mengekalkan tenaga mahir dalam negeri," katanya.


Belanjawan 2026 pula, kata beliau, tidak menunjukkan sebarang arah transformasi. Tiada strategi industrialisasi, agenda menarik pelaburan, usaha memetakan bakat, dan tiada peruntukan untuk penyelidikan, inovasi atau R&D, sedangkan negeri lain telah lama bergerak ke hadapan dengan pelan pembangunan ekonomi masing-masing.


Tegas beliau, Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab mengambil langkah serius memperkukuh asas ekonomi dan bukannya mengulang dasar populis bersifat kosmetik.


"Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri membuka mata terhadap keutamaan kritikal Terengganu, berfikiran ke hadapan dan fokus untuk meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negeri, bukannya mengulang dasar yang kosmetik, tidak strategik dan

berimpak tinggi," sinis beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page