Rakyat Malaysia dibawa keluar dari Iran seawal Jumaat
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 1 min read

Rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dibawa keluar dengan bantuan kerajaan seawal Jumaat ini susulan konflik di republik itu berdepan serangan Israel yang kian memuncak sejak minggu lalu.
Jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
"Menteri Luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia berdaftar sama ada yang berkhidmat dengan kedutaan, pelajar atau pelancong yang berada di Iran tidak terlalu besar.
"Insya-Allah, mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini... dijangka pada 20 Jun. Ada beberapa persiapan tetapi oleh kerana ia melibatkan aspek keselamatan, saya tidak boleh dedahkan," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata persiapan yang sedang dilakukan ialah penyediaan visa perjalanan.
Konflik antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh rejim Zionis itu ke atas wilayah Iran termasuk Teheran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke kota kota besar Israel termasuk Tel Aviv.
Semalam, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Iran agar meninggalkan negara itu dengan serta-merta ekoran keadaan yang semakin meruncing melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
Tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu telah memburukkan ketegangan di rantau Asia Barat, kata Kementerian Luar.
"Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal," katanya.
Comentarios