Situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza makin meruncing - Kabinet Palestin
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kabinet Palestin memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang semakin serius dan meruncing di Semenanjung Gaza.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) menerusi laporan yang memetik Kabinet Palestin berkata, serangan dan pelaksanaan operasi evakuasi paksa secara berterusan oleh Israel di Semenanjung Gaza telah memaksa ribuan keluarga meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan sukar tanpa keperluan asas yang minimum untuk meneruskan kehidupan.
Malah tindakan rejim itu yang sengaja mengurangkan kemasukan bantuan makanan, selain menyekat kemasukan bahan api serta bekalan perubatan memburukkan lagi keadaan.
"Justeru, kabinet itu menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pihak pengantara dan penjamin supaya mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan.
"Ia termasuk memberi tekanan terhadap pihak berkuasa Israel agar membuka semula pintu sempadan sepenuhnya dan secara mampan; memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan, perubatan dan bahan api tanpa sekatan; serta menghentikan dasar kebuluran dan evakuasi paksa terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza," kata laporan tersebut.
Kabinet Palestin menerusi laporan sama juga memaklumkan, keganasan peneroka Israel termasuk pembakaran, vandalisme terhadap harta benda, serta pembinaan pos penempatan baharu di Tebing Barat juga semakin memuncak.
Sebanyak 42 serangan direkodkan dalam tempoh lima hari lalu yang menyasarkan 12 kampung Palestin.




Comments