Spekulasi yang bertiup kencang, sebaik sahaja Perdana Menteri (PM) MuhyiddinYassin meletakkan jawatan esok maka bekas anggota kabinet beliau akan dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri amat mengejutkan rakyat.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hal tersebut tidak sewajarnya berlaku memandangkan rakyat amat tidak berpuas hati dengan prestasi menteri-menteri kabinet Muhyiddin sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk pada 1 Mac 2020 lalu.
Menurutnya, rakyat mahukan pasukan yang dilihat lebih berwibawa memimpin negara, bukannya gerombolan yang telah gagal dan tiada hala tuju mengambilalih pentadbiran Muhyiddin yang kucar kacir.
"Media melaporkan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin akan menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai PM kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin 16 Ogos 2021.
"KEADILAN menyambut baik berita ini memandangkan Tan Sri Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen.
"Namun khabar yang tidak enak bertiup dengan pantas di portal-portal media bahawa ada usaha dari pihak tertentu untuk mencalonkan nama-nama dari anggota kabinet Muhyiddin sebagai calon untuk kerusi PM.
"KEADILAN berpandangan adalah satu perkara yang akan membinasakan dan menyedihkan seluruh rakyat sekiranya anggota-anggota dari kabinet kerajaan yang telah gagal dan tidak berfungsi ini diberi peluang sekali lagi untuk menerajui negara sekali gus menyambung kehancuran dan porak-peranda pentadbiran Muhyiddin," katanya.
Tegas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, anggota-anggota dari kabinet Muhyiddin bukan sahaja terbukti gagal dalam menguruskan dan menangani pandemik Covid 19 bahkan gagal membawa negara serta rakyatnya keluar dari kemelut ekonomi yang kritikal.
Tambah beliau, lebih malang, anggota kabinet Muhyiddin juga termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik telah bersekongkol mempertahankan PM tatkala kerajaan memilih untuk berbentur dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu.
"Justeru itu, KEADILAN menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya usaha licik pihak yang bobrok ini untuk terus tidak segan silu berhempas pulas mempertahankan dan berpaut kepada jawatan dan kuasa mereka.
"KEADILAN sangat faham dan mengerti dengan situasi kritikal yang melanda rakyat dan negara serta ingin memberi ingatan rakyat kini sangat terdesak mengimpikan serta melihat satu kerajaan dan pimpinan baharu bagi memulihkan keyakinan mereka, bahawa Malaysia mampu keluar dari wabak Covid 19 serta kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan ini," katanya lagi.
Tular di media sosial sejak petang tadi bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dinamakan sebagai calon PM dari Perikatan Nasional sebaik sahaja Muhyiddin meletakkan jawatan esok.
Pencalonan segera itu bagi tidak mewujudkan proses pemilihan PM sebagaimana yang dilakukan oleh Agong pada hujung Februari tahun lalu. Hal itu juga bagi menjamin kerajaan PN tidak akan hancur dan pakatan baharu dibentuk untuk menjadi kerajaan di Putrajaya.
コメント