top of page

Rakyat mahu PN kembali mentadbir Perak hanyalah retorik – Azam Afandi

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan bahawa rakyat Perak mahu Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir negeri itu disifatkan sebagai retorik politik yang tidak berasaskan fakta, kata Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Azam Afandi (gambar).


Beliau berkata, kenyataan pimpinan PN Perak bahawa sokongan menyebelahi mereka adalah bersandarkan sentimen semata mata dan tidak disokong data objektif, rekod pentadbiran mahupun realiti semasa.


"Setakat yang dilaporkan, dakwaan itu dibina atas istilah “sentimen rakyat” dan harapan bahawa PN boleh mencipta kejutan jika kerjasama dalaman mereka diperkukuh, bukannya berasaskan petunjuk objektif yang boleh diuji.


"Dalam politik yang matang, kita tidak boleh mengangkat persepsi sebagai fakta," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, jika benar mahu mengukur kehendak rakyat, penilaian perlu dibuat berdasarkan prestasi pentadbiran, kestabilan politik serta keputusan pilihanraya.


Azam turut mengingatkan bahawa rakyat Perak masih mengingati kejatuhan pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang gagal memperoleh sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri pada Disember 2020.


"Beliau gagal mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri apabila hanya memperoleh 10 undi menyokong berbanding 48 undi menolak dalam usul percaya


"Itu bukan gambaran kestabilan, jauh sekali model pentadbiran yang meyakinkan rakyat untuk 'kembali' kepadanya," katanya.


Mengulas keputusan pilihanraya, beliau berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning 2025 menunjukkan kecenderungan pengundi yang jelas.


"Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan bahawa calon Barisan Nasional memenangi kerusi tersebut dengan 11,065 undi dan majoriti 5,006 undi, manakala calon PN hanya memperoleh 6,059 undi. Malah jurucakap Kerajaan MADANI menyatakan bahawa daripada 20 pusat daerah mengundi, 19 dimenangi oleh Kerajaan MADANI.


"Maka dakwaan kononnya rakyat Perak berbondong-bondong mahu PN kembali mentadbir tidak selari dengan isyarat pilihanraya yang paling dekat dan paling sah," katanya.


Tambah beliau, rakyat kini menilai kerajaan berdasarkan hasil sebenar, bukan sekadar slogan politik.


"Di peringkat nasional, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM426.7 bilion pada 2025 melibatkan 8,390 projek dengan potensi hampir 244,902 peluang pekerjaan baharu," katanya.


Di peringkat negeri pula, ujar beliau, Perak merekodkan pelaburan RM6.25 bilion melibatkan 203 projek setakat Jun 2025, selain kerjasama NCER–MIDA yang menjana pelaburan RM1.41 bilion serta hampir 2,500 peluang pekerjaan.


"Selain kerjasama NCER–MIDA yang telah merealisasikan RM1.41 bilion pelaburan dan hampir 2,500 peluang pekerjaan baharu.


"Ini semua adalah data yang menunjukkan negeri dan negara sedang bergerak ke hadapan, bukan mundur," katanya.


Azam berkata, rakyat Perak kini lebih mengutamakan kestabilan, peluang pekerjaan dan penyelesaian isu harian berbanding politik perebutan kuasa.


Sehubungan itu, beliau menegaskan dakwaan bahawa rakyat mahu PN kembali mentadbir adalah pramatang dan tidak berpaut pada fakta.


Beliau menambah, Perak ketika ini memerlukan kepimpinan yang stabil dan berasaskan prestasi, bukan “nostalgia politik” yang tidak menjamin masa depan.


"Rakyat berhak mendapat perbahasan yang matang, bukan dakwaan yang dibesar-besarkan tanpa sandaran yang meyakinkan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page